Monday 24 September 2018

GUAN ENG HANYA PANDAI PUTAR BELIT, SALAHKAN ORANG LAIN


24 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menyindir Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menambahkan tekanan ke atas anggota Kabinet yang digelar “berhati tisu” itu.
Kata Najib, beliau menulis hantaran terbarunya kerana Guan Eng masih tidak puas hati dengan jawapan dikemukakan.
Dalam tulisan terbaru di media sosial, Najib mengemukakan 17 soalan yang bertujuan “untuk membantu beliau dan orang awam memahami hal ehwal ekonomi negara.”
Soalan-soalan beliau meliputi isu-isu yang selama ini dimanpulasi atau dikemukakan secara salah oleh menteri kewangan itu.
Najib mempersoalkan dasar-dasar ekonomi kerajaan Pakatan Harapan termasuk melibatkan pembatalan projek pelaburan asing yang menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.
Beliau turut mengemukakan soalan sama ada benar kerajaan kehilangan RM30 bilion atau lebih tahun ini kerana mensifarkan GST dan menyebabkan kekurangan hasil.
“Adakah benar kerajaan hilang RM30 bilion atau lebih bagi pendapatan tahun ini berikutan sifar GST selama 3 bulan serta pengenalan semula subsidi menyeluruh selepas PRU14?”
Kehilangan sumber pendapatan yang besar ini dilihat menjadi punca kerajaan baharu terus mempersalahkan kerajaan sebelum ini pimpinan Najib untuk mengelakkan daripada kelihatan bersalah.
Banyak janji pihak PH juga tidak dapat dilaksanakan kerana hasil yang banyak merosot akibat menamatkan GST.
Najib juga menunjukkan kontradiksi tuduhan PH sebelum ini yang negara akan bankrap tetapi pelbagai pencapaian termasuk pemberian bantuan kepada rakyat menunjukkan sebaliknya.
“Adakah benar di sebalik dakwaan Pakatan Malaysia akan bankrap selama 10 tahun sebelum ini dan kononnya kerajaan terdahulu tak pandai mengurus ekonomi, BN secara konsisten berjaya mengurangkan defisit bajet setiap tahun, meningkatkan BR1M, meningkatkan gaji kakitangan awam dan gaji minimum serta mengekalkan pertumbuhan KDNK antara tertinggi di dunia termasuk mengatasi Singapura sejak 2011 manakala eksport meningkat setiap tahun?”
“Adakah sebab inilah mengapa Guan Eng pada minggu lalu berkata ekonomi Malaysia masih kukuh dengan menyatakan 8 faktor kepada kenyataan itu,” kata Najib.
Najib turut menyindir Guan Eng yang tuntutan untuk mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja berkenaan dakwaan kehilangan RM35 bilion masih tidak terjawab.
“Adakah benar, saya sudah bertanya berulangkali kepada anda untuk memulakan RCI terhadap ‘kehilangan RM35 bilion’ ini berikutan jumlahnya yang besar namun anda tidak berani beri jawapan?” soal Najib.
Bekas perdana menteri itu juga berkata, Guan Eng tidak akan menjawab secara jujur soalan-soalannya, dan mungkin akan dibantu oleh bapanya Lim Kit Siang.
“Saya tahu Guan Eng tidak akan berani atau jujur untuk menjawab semua soalan-soalan di atas ini tetapi saya tetap mahu kemukakan agar rakyat faham. (Selepas ini, saya jangka Kit Siang akan mengeluarkan lagi banyak kenyataan akhbar untuk marah saya),” sindir Najib.
Guan Eng, kata Najib, suka memutar belit dan suka menyalahkan orang lain.
“Tidak dapat dinafikan bahawa Guan Eng adalah ahli politik yang berbakat, terutama dalam memutarbelit dan gemar menyalahkan orang lain dalam menyakinkan penyokongnya, tetapi ini adalah ekonomi sebenar yang berlandaskan kepada fakta angka sebenar dan akan memberi kesan kepada kehidupan 31 juta rakyat Malaysia selain masa depan negara ini.”
“Tiada sekelumit putarbelit pun akan membantu anda jika pengurusan serta polisi anda teruk,” tegas Najib lagi. 

No comments:

Post a Comment