Monday 8 October 2018

20,000 KAKITANGAN MMC GAMUDA KVMRT HILANG KERJA

09 OKT: MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd tidak menerima sebarang pemberitahuan rasmi berhubung penamatan kontrak bawah tanah Transit Aliran Massa 2 (MRT2) oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd atau kerajaan.
“Tidak ada pengesahan rasmi daripada MRT Corp bahawa MMC Gamuda telah ditamatkan sebagai kontraktor bawah tanah,” kata Gamuda Bhd dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
MMC Gamuda adalah syarikat usaha sama 50:50 antara Gamuda dan MMC Corporation Bhd.

Gamuda berkata, syarikat usaha sama itu telah terlibat dalam perbincangan dan rundingan dengan Kementerian Kewangan (MoF) sejak dua bulan lalu untuk mengkaji skop kerja dan spesifikasi projek dengan matlamat mencapai kompromi pengurangan kos.
Syarikat itu juga bersetuju untuk menukar model rakan kongsi penyerahan projek (PDP) kepada kontrak turnkey tunggal untuk kerja-kerja bertingkat dengan penurunan harga sebanyak 23 peratus.

“Berkenaan dengan kerja-kerja bawah tanah, MMC Gamuda setakat ini menawarkan pengurangan 24 peratus untuk baki kerja bawah tanah,” katanya.
Berikutan penamatan kontrak tersebut, Gamuda berkata, ia akan mengakibatkan kehilangan kerja kepada lebih 20,000 tenaga kerja terlibat dalam kerja-kerja bawah tanah daripada rantaian bekalan lebih daripada 600 syarikat Malaysia.
Daripada 20,000 itu, lebih daripada 3,000 adalah kakitangan usaha sama MMC Gamuda  dan lebih daripada 60 peratus adalah Bumiputera. -Bernama


No comments:

Post a Comment