Sunday 14 October 2018

JANGAN KAITKAN LAGI SAYA DENGAN KES PEMBUNUHAN: NAJIB

13 OKT: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta beliau tidak dikaitkan lagi dengan kes pembunuhan berprofil tinggi selepas polis memaklumkan tidak akan menyiasat laporan polis yang dibuat pembantunya semalam berhubung dakwaan tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu memaklumkan, polis  sudah keluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan menyiasat laporan polis dibuat rakan sekerjanya, semalam.
“Polis kata ‘tiada apa untuk disiasat’ dan polis nyatakan aduan tersebut dibuat sebagai langkah saya mahu mempertahankan dirinya daripada dikaitkan dengan beberapa pembunuhan berprofil tinggi.
“Memang betul pun, kerana hakikatnya saya tidak terlibat dalam kesemua kes-kes ini yang sudah disiasat secara mendalam dan lengkap serta telah melalui proses kehakiman selama bertahun-tahun,” katanya dalam status Facebooknya, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun berkata, dalam situasi ini, veteran DAP, Lim Kit Siang tidak puas hati.
“Lim Kit Siang pula tidak berpuas hati. Beliau tuduh saya bohong dan kita bukan membuat laporan polis terhadap diri saya tetapi terhadap dirinya.
“Mungkin Kit Siang tidak faham atau buat-buat tak faham. Oleh itu saya lampirkan salinan laporan polis semalam yang guna bahasa mudah difahami,” sindirnya.
Menurut Najib, laporan polis berkenaan jelas menunjukkan bahawa beliau minta Kit Siang mengemukakan sebarang maklumat yang dia ada tentang kes-kes ini kerana beliau pernah mengaitkan kes-kes ini dengan saya dan 1MDB.
“Perenggan akhir laporan polis ini jelas ditulis seperti berikut, berdasarkan maklumat tambahan yang diberi oleh beliau (Kit Siang), saya mahu pihak polis untuk membuka semula siasatan  ke atas kes-kes ini. Jika hasil siasatan ini menunjukkan majikan saya tidak terlibat maka saya mahu polis membersihkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Begitu jelas seperti ini pun Kit Siang tak faham? Dengan perkembangan terkini ini, saya harap semua rakyat Malaysia tidak lagi melibatkan nama saya dengan pembunuhan Altantunya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed,” tegasnya.
Semalam seorang pembantu Najib membuat laporan di Balai Polis Sri Hartamas bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat Kit Siang.
Ia dibuat ekoran kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri yang menyebut, beliau akan membuka semula siasatan berhubung kematian Altantunya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock and Ahmad Sarbani Mohamed, jika menjadi perdana menteri.

No comments:

Post a Comment