KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ahli-ahli UMNO digesa untuk menjaga maruah parti yang bermakna maruah semua lantaran hari ini ahli-ahlinya akan diuji dengan tekanan dan penganiayaan level kedua oleh regim zalim Mahathir dan Dap, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.
Katanya, Tun Mahathir hanya punyai tujuh hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson yang bermakna beliau juga akan “all out” untuk menarik sekurang-kurangnya 26 Ahli Parlimen (MP) UMNO bersamanya sebagai Bebas tetapi menyokong beliau untuk kekal sebagai Perdana Menteri, sekaligus menguburkan hasrat Anwar menjadi Perdana Menteri walaupun dengan bantuan UMNO dan parti-parti lain.
“Bagi menjatuhkan moral ahli UMNO, khususnya MP UMNO, minggu ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pula akan ditahan oleh pihak SPRM.
“Malah, jika minggu lepas, anak Datuk Seri Azeez Rahim, Anwar Azeez turut menjadi mangsa, minggu ini kezaliman ‘Pakatan Penipu Rakyat’ ini akan mengheret sama anak Presiden dan ahli keluarga MP-MP kita yang masih tidak mahu tunduk dengan ugutan mereka.
“Mungkin ahli-ahli UMNO dan kepimpinannya boleh memberikan pelbagai alasan untuk tidak turun dan menyatakan solidariti kita kepada Datuk Seri Najib Razak, Mantan Presiden kita, tetapi apalah rupanya jika Presiden kita turut dianiaya, pemimpin dan Ahli UMNO masih berdiam diri dan berpeluk tubuh?”
Tegasnya, jika sekali lagi, kepimpinan dan ahli UMNO membiarkan nasib Presiden, Naib Presiden dan seterusnya kepimpinan tertinggi UMNO yang lain dibiarkan tanpa pembelaan, maka isyarat yang jelas akan kita sampaikan di dunia luar bahawa memang benarlah roh perjuangan UMNO sudah mati.
“Tiada lagi kepimpinan UMNO akan meneruskan perjuangan menentang regim zalim ini sekiranya mereka dibiarkan berseorangan menghadapi tekanan ini.
“Kepimpinan dan ahli UMNO perlu sedar bahawa, tiada siapa boleh menangkap atau menghalang kita, jika kita sekadar hadir menyatakan solidariti kita kepada kepimpinan utama UMNO. Usah kita gentar dan takut dengan ancaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, memandangkan ramai daripada MP kita melawan ugutan dan tekanan ‘si puaka durjana’, penguasa zalim ini akan sekali lagi mengharamkan UMNO dalam minggu ini.
“Tun Mahathir tahu, ramai yang akan pasrah dan putus asa jika UMNO diharamkan. Ini akan memudahkan beliau meyakinkan mereka yang bagai kehilangan arah ini untuk menyertai beliau.
“Suka saya umumkan di sini bahawa, UMNO sudah pun bersiap-sedia menghadapi kemungkinan ini dan kita sudahpun menyediakan platform alternatif sekiranya musibah akibat cubaan khianat ini tidak dapat kita elakkan.
“Oleh itu usahlah sahabat-sahabat bimbang, dibawah platform apa kita akan meneruskan perjuangan ini. Apa yang penting, penganiayaan dan kezaliman ini akan menyedarkan jutaan rakyat Malaysia yang lain. Yakinlah, rakyat akan bersama kita. Insya-Allah, mereka akan memilih wadah baru yang bakal dipilih oleh majoriti kepimpinan UMNO yang mempertahankan parti keramat ini hingga kedetik terakhir.”
Katanya, kepimpinan UMNO tidak sesekali akan bersama kepimpinan dan ahli yang belot dan meninggalkan perjuangan.
“Usahlah kita berburuk sangka terhadap 49 orang Ahli Parlimen UMNO yang tinggal. Hentikan sebarang spekulasi, adakah ‘sipolan bin sipolan’ bakal meninggalkan kita atau tidak? Henti bertanya sama ada pemimpin ini masih ok atau tidak, masih bersama kita atau tidak.
“Maksud perjuangan ini tidak semestinya UMNO, tetapi tidak kiralah platform apa yang kita pilih secara berjemaah jika UMNO diharamkan ‘regim zalim Mahathir Dap. Apa yang penting, perjuangan ini perlu kita teruskan, lawan tetap lawan.”
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat dan Pemantau Prestasi Kerajaan, UMNO Malaysia mengajak anggota parti untuk turun beramai-ramai dalam satu perhimpunan besar minggu ini, jam 9.00 malam di hadapan Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya iaitu pada malam Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditahan oleh pihak SPRM (bila-bila masa sebelum hari Rabu ini).
“Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita keseorangan. Korbankanlah masa kita walau sehari sahaja bagi menyatakan solidariti kita kepada #Solidariti4ZahidHamidi . Jagalah maruah UMNO, maruah UMNO adalah maruah kita semua. Hidup UMNO,” katanya lagi
No comments:
Post a Comment