KETEREH, 13 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melahirkan kegusaran dan kekhuatiran apabila melihat pemimpin Islam kerajaan menjadi semakin permisif dan liberal.
Menurutnya, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin condong kepada nilai-nilai tajaan parti tertentu dalam politik kepartian mereka.
“Sedikit demi sedikit nilai Islam terhakis kerana lemahnya kita dalam tawar-menawar politik. Kita terlalu bergantung kepada talian hayat yang dikuasai orang lain,” katanya dengan nada kecewa.
Annuar dalam catatan di facebooknya memberi reaksi demikian berhubung komentar Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad yang memberi justifikasi mengapa beliau tidak menentang ‘Oktober Fest’ atau ‘Beer Festival’.
Walaupun penulisan Tun Mahathir mengenai pesta arak tersebut mudah difahami dan diterima logik pemikiran biasa tetapi Annuar dengan tegas menyanggah pendapat Perdana Menteri Ketujuh itu.
“PM menjadikan alasan antara lain ‘Oktober Fest’ ini tradisi, khasnya bagi orang Jerman. Kalau pun benar begitu, perlu kita ingat Jerman adalah sebuah negara yang penduduknya majoriti bukan Islam dan Islam tidak terpahat dalam perlembagaan negaranya.
“Dan Jerman bukan negara yang dipimpin oleh orang Islam. Sementara kita negara pimpinan orang Islam dan Islam itu AGAMA BAGI PERSEKUTUAN,” tegas Annuar.
Ahli Parlimen Ketereh itu turut membidas pandangan Tun Mahathir yang tidak kisah jika orang bukan Islam mahu minum arak hingga pengsan sekalipun asalkan tidak menganggu orang lain, seperti memandu dalam keadaan mabuk dan sebagainya.
“Perlu difahami, Islam melarang minuman arak kerana ia adalah ‘khamr’ atau sesuatu yang memabukkan. Orang yang mabuk sudah pasti memudaratkan dirinya dan juga orang lain.
“Bila disebut festival sudah pasti ia dilakukan di tempat awam dan terbuka. Justeru kesan langsung atau tidak langsung pada orang lain sudah tentu ada. Maka sesuatu festival sudah tentu turut memberi impak pada orang Islam dan masyarakat,” bidasnya lagi.
Justeru sebagai pemerintah, Annuar mengingatkan mereka bahawa pemimpin bertanggungjawab kepada semua rakyat pimpinannya dan juga bertanggungjawab kepada Allah SWT.
“Para ulama’ mungkin boleh memberikan hujah berautoriti tentang perkara ini..tentang tanggungjawab seorang pemimpin Islam. Namun ia tidak wajar dilihat diberi galakan atau dorongan oleh pemerintah dalam apa jua bentuk sekalipun. Boleh saja ada pesta tanpa seolah membudayakan amalan yang memudaratkan, baik arak mahupun ‘khamr’ yang lainnya.
“Ia juga bercanggah dengan prinsip ‘private space’ dan ‘public space’ yang cuba dihurai oleh Menteri Agama kerajaan PH,” katanya.
Annuar juga menggesa kerajaan sebagai pemerintah agar tidak perlu membenar dan menggalakkan apa jua bentuk pesta bagi perkara yang dilarang oleh agama atau budaya di Malaysia ini.
“Jalan untuk penduduk nak ke masjid ditutup, tapi untuk pesta arak jalan diguna dan dibuka,” sinisnya.
No comments:
Post a Comment