Saturday 6 October 2018

MUJAHID BUKA SEGALA PINTU KEMAKSIATAN SELAR ISMA DAN HARUSSANI


6 OKT: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta Majlis Agama Islam Negeri tidak mengambil tindakan kepada orang Islam sekiranya maksiat dilakukan secara tertutup.
Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan menteri agama itu amat tidak wajar dan boleh membuka kepada segala pintu kemaksiatan berlaku berleluasa.
Katanya, sekiranya benar apa yang diucapkan Mujahid, ia bermakna peranan Majlis Agama dalam membanteras gejala maksiat semakin dikecilkan malah mungkin tidak berperanan lagi.
“Apa yang didefinisikan tempat tertutup dan tempat awam perlu dibahaskan kerana ini membawa tafsiran yang pelbagai. Adakah maksiat yang berlaku di rumah-rumah urut dianggap tempat awam atau persendirian?
“Jika mengikut kenyataan Mujahid, ia boleh didefinisikan tempat persendirian. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh melakukan maksiat di tempat berkenaan tanpa halangan,” katanya memetik laporan ISMAweb, hari ini.
Dalam temu bual eksklusif dengan The Star sebelum ini, Mujahid mengkritik tindakan pihak berkuasa agama yang memecahkan pintu dalam serbuan bagi menahan pasangan berkhalwat.
Beliau mendakwa, penguatkuasaan dalam beberapa kes khalwat telah disalahgunakan dan dieksploitasi, sedangkan apa yang dilakukan oleh orang Islam di kawasan tertutup bukanlah urusan kerajaan.
“Katakan anda melakukan sesuatu dalam lingkungan peribadi anda, saya tidak akan campur tangan. Adalah penting untuk mereka (pegawai penguatkuasa) tidak mengganggu lingkungan individu.
“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, kesahihan atau jenayah. Hanya dengan itu kerajaan akan masuk campur, bukan kerana kita mahu menjadi polis moral tetapi kerana kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” kata Mujahid.
Membidas kenyataan itu, Aminuddin memohon pihak menteri berbincang sebaik mungkin dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini bertungkus lumus mencegah gejala maksiat sebelum membuat sebarang kenyataan atau polisi.
Pada masa sama, beliau juga turut mempersoalkan kesungguhan tindakan kerajaan dalam membendung kelahiran anak luar nikah yang dilihat semakin membarah.
Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terkejut dengan kenyataan Mujahid berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat.
Katanya, undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun.
Harussani berkata, sebagai seorang menteri beliau (Mujahid) perlu lebih memahami mengenai undang-undang berkenaan.
“Orang berkhalwat selalunya buat ditempat tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita masuk, itu pencegah maksiat buat.
“Jadi kalau tak boleh tegah biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah, kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Harussani berkata, amalan mencegah maksiat sepatutnya dilaksanakan dimana-mana kawasan sekalipun.
“Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat dimana pun,” katanya.
Justeru katanya, adalah lebih baik jika Mujahid panggil ‘orang agama’ untuk mengadakan perbincangan sebelum sesuatu kenyataan dikeluarkan.
“Saya rasa kita jangan buat kenyataan di surat khabar tak tentu pasal mari kita bincang dahulu pergi ke jabatan agama, adakan mesyuarat macam mana, jadi kalau kita buat tak tentu pasal ia jadi celarulah,” katanya.

No comments:

Post a Comment