Tuesday, 30 October 2018

ICERD : KAJI DAHULU KESANNYA KEPADA MARUAH RAKYAT, BANGSA DAN NEGARA MALAYSIA.

KOTA BHARU, 30 Okt – Kerajaan Persekutuan digesa supaya tidak terlalu teruja dalam menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa tanpa membuat kajian secara menyeluruh dan impaknya terhadap rakyat.
Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata proses ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan memberi kesan bukan sahaja terhadap orang Melayu, malah turut membabitkan kaum lain.
“Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, PAS, MCA dan MIC juga kena diharamkan kerana ia parti berdasarkan kaum, itu dari segi politik.
“Dari segi institusi pula, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Permodalan Nasional Berhad (PNB), mungkin Tabung Haji juga (akan diharamkan) kerana ia untuk orang Islam sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar dewan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Md Alwi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas berkata kerajaan pernah melakukan kesilapan dengan menandatangani satu perjanjian antarabangsa yang mengharamkan penanaman tembakau.
“Akhirnya Kelantan yang menderita paling banyak apabila ramai penanam tembakau kehilangan pekerjaan mereka. Walaupun Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditukar kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) namun ia masih tidak dapat membantu penanam tebakau.
“Kita tak tahu mana nak letak penanam tembakau kita pada masa itu. Kita telah buat kesilapan itu… itu kecil sahaja dari segi pendapatan. Tapi ICERD ini melibatkan maruah kita, bangsa kita, negara kita,” katanya. 

No comments:

Post a Comment