21 OKT: Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan memberi kata dua kepada kerajaan PH sama ada mengadakan rundingan bersama atau mereka akan bertindak ‘melumpuhkan bandar Kuala Lumpur’.
Pengerusinya, Jamil Mat Desa berkata mereka akan bermula di Jalan Imbi, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, manakala tempat dan masanya akan diberitahu kelak.
“Kita bukan mahu menyusahkan rakyat daripada jalani rutin harian tetapi kita mahu desak kerajaan berunding dengan kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan PH yang diperintah Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menganggap pemandu teksi sebagai orang yang biadap sehingga mereka dilabel dengan pelbagai gelaran di media sosial oleh penyokong tegar pakatan itu.
“Kita digelar orang yang busuk, gasar, kita orang yang biadap dan pemandu teksi dikatakan bodoh kerana tidak ikut pada arus perubahan teknologi.
“Tidak cukup kita dihina mereka memperlekehkan teksi kononnya tidak tahu teksi wujud sejak muncul sistem e-hailing seperti Grab, Uber.
“Tanya diri tuan-tuan sendiri, adakah kita bodoh, biadap seperti mereka katakan?,” katanya.
Tambahnya, pemandu teksi di negara ini sudah bertapak selama berpuluh tahun sehingga ada di kalangannya mempunyai anak-anak yang sudah membesar dan berjaya melanjutkan pelajaran hasil titik peluh membawa teksi.
“Bila penyokong kerajaan galak memburuk-burukkan kita di media sosial lama-lama orang ramai tidak mahu guna perkhidmatan teksi. Sedarlah ini bukan saja tabur pasir dalam periuk nasi tapi seolah-olah mahu merampas periuk nasi kita.
“Kita ada persatuan, kita juga ada koperasi, bukan saja di KL tetapi di seluruh negara. Sampai bila kita pemandu teksi mahu berdiam diri dan membiarkan Kerajaan yang memerintah belum sampai setahun jagung ini memburukkan kita? Kita akan lumpuhkan bandar Kuala Lumpur!,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri mengatakan kesediaan untuk meletakkan jawata selepas kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi bersikap biadap dan meninggalkan sesi dialog selepas enggan menerima penjelasan beliau berkaitan isu GRAB.
“Saya nak tolong tapi kalau tak ada bantuan…saya pun tak boleh tolong juga. Kalau tak percaya saya boleh buat, buat sendiri. Tengok apa yang jadi.
“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara…orang panggil balik, jadi saya datang.
“Kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri, saya hari ini letak jawatan. Tak ada masalah bagi saya,” katanya pada Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi.
No comments:
Post a Comment