Tuesday, 9 October 2018

KERAJAAN PH PERLU BERTINDAK EKORAN BANK DUNIA TURUNKAN UNJURAN KDNK


9 OKT: Kerajaan digesa segera bertindak ekoran laporan Bank Dunia yang menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau GDP Malaysia daripada 5.4 peratus kepada 4.9 peratus tahun ini.
Ini kerana Bank Dunia di dalam mesyuaratnya baru-baru ini menyatakan ia berpunca daripada cara ekonomi negara ditadbir, serta pembatalan dan penangguhan banyak projek utama yang membabitkan dana asing yang membimbangkan semua pihak.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kali kedua unjuran sebegini dibuat dengan yang pertama sebelum pilihanraya umum ke 14 apabila unjuran KDNK negara dinaikkan daripada 5.2 peratus kepada 5.4 peratus.
“Ia bagaimanapun merosot setelah kerajaan baru mengambil keputusan yang kononnya ada kaitan dengan ‘hutang RM1 trilion’ negara, dengan pembatalan projek besar dan penarikan balik banyak tender utama,” jelas Shamsul Anuar dalam kenyataan, Selasa.
Tegas beliau,  keadaan bertambah parah apabila, pengumuman Amundi, firma aset terbesar Britain dan paling berpengaruh di dunia, menyatakan bahawa Malaysia adalah antara beberapa negara yang tidak boleh dipercayai hutang luarnya.
Apatah lagi katanya, Putrajaya sehingga kini  mengharapkan pinjaman dalam bentuk yen dari Jepun, masih samar-samar dengan kedudukan itu apabila Jepun mula berfikir dua kali untuk menghulurkannya.
Shamsul berkata, penarikan keluar dana asing dengan banyak dari syarikat tempatan di Bursa Malaysia, turut mempengaruhi unjuran terbaru Bank Dunia ini.
Beliau turut merujuk kenyataan Ketua Ahli Ekonominya bagi Asia-Pasifik, Sudhir Shetty yang, menegaskan walaupun kos pembiayaan negara akan berkurangan dengan banyaknya, masanya amatlah tidak sesuai kerana ekonomi Malaysia masih kuat bergantung kepada kemasukan dana dan pelaburan asing.
“Kegoyahan bursa saham, matawang ringgit yang merudum, rejim percukaian yang tidak seragam dan ketidaktentuan ekonomi serantau boleh menjerumuskan ekonomi Malaysia ke situasi yang lebih malap.
“Oleh itu, rakyat pasti ingin tahu dan bertanya apakah bentuk ‘stimulus package’ yang bakal diperkenalkan pada Bajet 2019 dan apakah bentuk sistem penampan yang ada bagi menghadapi isu ekonomi dunia?,” tambahnya.
Dengan susutnya rizab antarabangsa Malaysia daripada US$110 bilion sebelum PRU-14 kepada US$103 bilion minggu lalu, Shamsul Anuar bertanya adakah kerajaan akan terus menggunakan helah kemerosotan serantau dan dunia kepada isu ini.
“Kita menunggu dengan debaran Bajet 2019 dan langkah-langkah yang bakal diumumkan kerajaan untuk ‘menyahut cabaran’ laporan Bank Dunia, Amundi dan agensi antarabangsa yang lain.
“KDNK negara hampir mencapai 5.9 peratus tahun lalu berbanding 4.2 peratus tahun sebelumnya. Apakah kerajaan mampu mencapai tahap ini?,” soalnya lagi.
Dalam keadaan ini tegas Shamsul Anuar, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mesti mempunyai keupayaan menanggani situasi ekonomi negara sekarang.
“Kita bimbang oleh kerana kesannya secara langsung akan kepada rakyat, maka saya harap Menteri Kewangan menumpukan tanggungjawabnya menyelesaikan isu melibatkan ekonomi yang dihadapi negara sekarang,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment