Kerajaan Negeri Pulau Pinang didesak menilai bencana tanah runtuh di negeri ini secara lebih serius iaitu sama ada disebabkan kemalangan semata-mata atau berpunca daripada pembangunan tidak terkawal.
Menurut Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng, kerajaan negeri sering kali mewajarkan aktiviti pembangunan di negeri ini berdasarkan aspek undang-undang dan peraturan berkaitan serta mengetepikan kebimbangan yang disuarakan penduduk.
Tambah beliau, tindakan yang disifatkan ‘angkuh’ kerana cuba menutup mulut pelbagai pihak dengan peruntukan undang-undang itu secara berterusan mengundang pelbagai tragedi termasuk kejadian tanah runtuh yang meragut banyak nyawa.
“Berapa banyak lagi bencana tanah runtuh harus berlaku dan berapa banyak lagi nyawa yang perlu terkorban sebelum Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar sedar berhubung masalah pembangunan di kawasan bukit yang tidak terkawal di negeri ini?” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri sepatutnya menyedari tanggungjawab mereka dalam memastikan kerja-kerja mitigasi tanah dan menyelamatkan kawasan lereng bukit yang ditarah.
Katanya, pihak pemaju dan kontraktor yang terlibat perlu dipantau supaya benar-benar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain mematuhi aspek keselamatan pekerja dan penduduk setempat dalam projek dijalankan mereka.
“Tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah tahun lalu sepatutnya sudah menjadi pengajaran berguna dan menyakitkan untuk kerajaan negeri memberi perhatian lebih serius kepada isu pembangunan tanpa kawalan di kawasan lereng bukit di negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment