Friday 12 October 2018

HAPUSKAN TOL : KERAJAAN PH PERLU AKUI HAKIKAT GAGAL TUNAIKAN JANJI


12 OKT: Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Bali hari ini bahawa lebuh raya tanpa tol di Malaysia sesuatu yang mustahil didakwa sebagai antara mungkir janji terbesar dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
Justeru, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah mengesa Kerajaan PH untuk mengakui hakikat kegagalan mereka dalam menunaikan janji-janji yang mereka berikan kepada rakyat sebelum pilihan raya.
Shamsul berkata, PH tidak sepatutnya terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit untuk tidak menunaikan janji yang diberikan kepada rakyat.
“Biarpun beliau mendakwa cuba menghalang perkara itu dimasukkan sebagai manifesto PH, ia tidak boleh diterima. Ini kerana rakyat tidak pernah pun terdengar atau terbaca mengenai tentangan beliau itu sebelum PRU14. Bagi kita itu semua adalah alasan semata-mata.
”Malah beliau sendirilah yang menjadi ‘Bapa Jalan Raya Bertol’ Malaysia di zamannya sebagai Perdana Menteri keempat. Apatah lagi kebanyakan pemegang konsesi tol adalah mereka yang rapat dengannya. 
“Lebih pelik apabila beliau membuat kenyataan itu di luar negara, seolah-olah mahu mengelakkan soalan bertalu-talu wartawan di negara sendiri.
“Hakikatnya kini jelaslah bahawa ‘sokongannya’ terhadap manifesto PH dahulu semata-mata bertujuan menggula-gulakan pengundi bagi menjatuhkan Barisan Nasional dan memilih semula beliau ke tampuk kuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Shamsul sebelum ini kerajaan PH sudah membuktikan kegagalan mereka apabila tidak memansuhkan PTPTN dan hutang peneroka FELDA.
“Lihatlah sebagaimana janji mengenai PTPTN dan hasrat memansuhkan semua hutang peneroka FELDA yang tidak akan tertunai, Kerajaan PH ternyata meluruhkan harapan banyak pihak yang mengundi mereka dalam PRU14 lalu. Kita harap akuilah hakikat bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji,” ujarnya lagi.
Shamsul mendakwa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan BN adalah bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuh raya tanpa tol kepada rakyat berbanding Kerajaan PH yang memerintah Malaysia sekarang.
“Nampaknya, rakyat makin tertipu dengan rejim ala-diktator ini, apatah lagi sistem kehakiman, kewangan dan badan anti-rasuah sudah di dalam genggaman mereka.
“Bagaimanapun, ini kuasa dan hak mereka. Namun adakah ini sebenarnya keinginan rakyat setelah meletakkan mereka di tampuk kuasa? Saya harap rakyat dapat menilai kualiti kerajaan hari ini. Manifesto pada mereka hanyalah umpan bagi mendapatkan kuasa.
“Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan BN adalah bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuhraya tanpa tol pada rakyat berbanding Kerajaan PH yang memerintah Malaysia sekarang,” katanya lagi.
Berdasarkan laporan media hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan
Malah Dr. Mahathir sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).
Menjelaskan lebih lanjut mengenai tol, Dr. Mahathir bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.

No comments:

Post a Comment