6 OKT: Nampaknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa masih gagal memahami kuasa di antara seorang menteri dan kuasa Sultan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, kenyataan Mujahid jelas menampakkan kebodohannya kerana setiap negeri mempunyai kuasa syariahnya dan tertaluk kepada persetujuan Sultan di negeri tersebut melaksanakan dan menetapkan undang-undang syariahnya sendiri.
“Mujahid ni selalu buat kenyataan silap. Menteri ni kena faham setakat mana bidang kuasa dia.
“Bila pula menteri agama di JPM ada kuasa untuk menghalang pelaksanaan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah Negeri seperti isu tangkapan khalwat (cubaan melakukan zina), itu bidang kuasa negeri di bawah kuasa Sultan,” katanya kepada BNPPortal.com hari ini.
Shabudin yang juga bekas Hakim Mahkamah Syariah dari tahun 1996 hingga 1998 menegaskan sebagai seorang menteri Mujahid tidak seharusnya membuat kenyataan seperti itu tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pendirian pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang dinaungi oleh Sultan dan Raja-Raja.
“Kalau dia nak buat macam dia kata tu, dia kena dapat persetujuan dan buat pindaan Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri dulu dan dapat perkenan YDP Agong atau Sultan bagi membatalkan bidang kuasa penguatkuasa agama dulu.
“Kenyataan beliau tersebut telah menggambarkan seolah-olah tindakan penguatkuasaan dan pencegahan maksiat tersebut seolah-olah suatu kesalahan dan memalukan,” ujarnya lagi.
Mujahid menimbulkan kontroversi apabila kenyataannya dalam satu temubual khas bersama The Star berkata pihak berkuasa agama tidak akan melakukan serbuan atas apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup seperti maksiat kerana ia bukan urusan kerajaan.
“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.
“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur.
Sebaliknya apa yang pihak berkuasa akan ambil tindakan hanyalah jika perbuatan itu dilakukan di khalayak umum.
“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, sahsiah atau jenayah.
“Hanya itu yang kerajaan terlibat, bukan kerana kita mahu menjadi ‘polis moral’ tetapi kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” kata Mujahid dalam temu bual tersebut.
Mengulas lanjut sindir Shabudin jika itulah pendirian seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama maka polis juga tidak ada hak untuk menyerbu mana-mana premis persendirian yang memproses dadah.
“Kalau itu pandangan dan pendirian menteri berkenaan, maka pihak polis juga tidak boleh menyerbu pusat memproses dadah yang beroperasi dalam rumah persendirian sebab dilakukan dalam kawasan sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment