Ulasan dan komen berita:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak dalam negara, tidak kira pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara (lihat berita di bawah).
Hakikat nya sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, Raja-raja dan rakyat tidak mematuhi undang-undang bukan isunya. Isunya sekarang ialah pemerintah sendiri tidak berminat untuk melaksanakan ‘rules of law’ dan memilih untuk melaksanakan ‘undang-undang rimba’ atau ‘rules of the jungle’ demi kepentingan politik dan bukan kepentingan keadilan semua pihak.
Sebagai contoh beberapa kes yang melibat pemimpin parti pemerintah (PH) digugurkan begitu sahaja tanpa alasan yang konkrit oleh Peguam Negara (dengan sewenang-wenang menggunakan kuasa vetonya). Sekiranya Peguam Negara mempunyai integriti sekurang-kurangnya beliau harus merujukkan kes-kes berkenaan ke mahkamah untuk pengesahan pihak kehakiman. Dengan kuasa yang dimiliki, Peguam Negara dengan sewenang-wenang telah menggugurkan kes begitu sahaja tanpa bicara atas arahan pihak pemerintah (eksekutif).
Lain pula terhadap pemimpin-pemimpin parti pembangkang (UMNO/BN), dengan hanya bersandarkan maklumat khabar angin atau fitnah tanpa sebarang bukti yang sahih dari punca yang boleh dipertikaikan integritinya, telah terus menyedia kertas pertuduhan untuk dihadapkan ke mahkamah.Yang zalimnya tertuduh ditahan dahulu dilokap atas alasan untuk diambil keterangan dan apabila dihadapkan ke mahkamah tiada sebarang kertas siasatan disediakan untuk tertuduh mahupun untuk mahkamah. Adakah tuduh dahulu dan siasat kemudian merupakan ‘rules of law’?
Adakah dengan kedua-dua contoh di atas yang dilakukan oleh pemerintah (PH) ketika ini telah mematuhi undang-undang seperti yang diingatkan oleh Tun Mahathir kepada Raja-raja dan rakyat?
Seterusnya Tun Dr Mahathir menambah bahawa undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak.
Hakikatnya, setelah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, tidak ada lagi undang-undang yang menekan di negara ini. Istilah ‘undang-undang menekan’ adalah subjektif dan tertakluk kepada pihak yang ingin menjadikannya sebagai modal politik yang mana akhirnya memudaratkan keharmonian dan keselamatan negara.
Sebagai contoh, banyak pihak pengkritik Akta Hasutan dan Akta Berita Tidak Benar kononnya ia merupakan undang-undang menekan serta tidak demokratik. Apapun kedua-dua akta tersebut diyakini mempunyai banyak kebaikan daripada keburukan.
Akta Hasutan mampu mencegah pertelingkahan kaum dan mewujudkan keharmonian antara berbilang kaum dinegara ini.
Bagi Akta Berita Tidak Benar pula mampu mengawal rakyat dari segi moral untuk menyatakan kebenaran demi hubungan yang harmoni sesama manusia. Kritikan bahawa Akta Berita Tidak Benar menyekat kebebasan bersuara adalah satu kritikan yang dangkal serta meleset. Ini kerana mereka tidak faham kebebasan suara dalam demokrasi. Dalam demokrasi, kebebasan bersuara bukanlah mutlak, ia harus disertai oleh kebertanggungjawaban dari segi moral untuk menyatakan sesuatu yang benar. Oleh itu memfitnah dan berbohong bukanlah merupakan kebebasan bersuara.
Kesimpulannya apa yang diingatkan oleh Tun Dr Mahathir itu kepada Raja-raja dan rakyat dilihat merupakan omong-omong kosong kerana beliau sendiri sebagai pemerintah tidak mematuhinya.
Hakikatnya peringatan beliau itu dilihat hanya untuk memesongkan perhatian rakyat ke atas kebobrokan kepimpinan beliau sekarang demi untuk mengukuhkan kuasa beliau secara peribadi.
Berita berkaitan:
10 OKT: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak dalam negara, tidak kira pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara.
Tegas Dr Mahahtir, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.
“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan.
“Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita. “Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini, ” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir berkata kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.
Katanya, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.
Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.
Katanya hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.
“Kalau kita tahu kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak. Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau diperbetulkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment