KUALA LUMPUR, 6 Okt – Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar tidak berterusan cuba memperbodohkan rakyat serta menyatakan dengan jelas apakah model pembiayaan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Tun Mahathir baru-baru ini.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut merujuk kepada kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof yang memberi jaminan bahawa NNCP ini akan dipacu oleh sektor swasta menggunakan model perkongsian pintar pihak kerajaan-swasta.
“Beliau juga menamakan SilTerra dan CTRM (Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd) sebagai rakan kongsi swasta bagi projek ini.
“Ramai kini sudah maklum, SilTerra adalah sebuah syarikat ‘semi-conductor’ milik Khazanah Nasional Berhad dan mempunyai rekod pencapaian yang kurang memberangsangkan.
“Jumlah terkumpul kerugian yang mencapai RM7.3 billion ini seharusnya menjadi ‘red-flag’ pertama akan kebolehlaksanaan NNCP. Malah Tony Pua juga pernah satu ketika mempertikaikan SilTerra sebagai pelaburan yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi yang mengikut rapi perkembangan projek kereta nasional ketiga itu melahirkan kebimbangan akhirnya kerajaan akan terpaksa menggunakan dana rakyat bagi menjadi penjamin segala hutang baru yang diwujudkan sekaligus meningkatkan ‘Contigent Liability’ yang merupakan sebahagian daripada momokan hutang RM1 Trillion yang kerajaan PH beria-ia mahu menurunkannya.
“Pemuda UMNO ingin bertanya bagaimanakah NNCP memperoleh pembiayaan bagi memulakan operasi sekaligus mampu untuk mengeluarkan kereta mereka bagi tujuan komersil. Adakah SilTerra mempunyai dana yang mencukupi bagi memulakannya?
“Pemuda UMNO juga ingin bertanya adakah Khazanah Nasional akan menerbitkan hutang baru dari pasaran modal bagi pembiayaan projek NNCP melalui jaminan kerajaan? Khazanah Nasional selaku syarikat 100% milikan kerajaan berupaya memberikan penarafan ‘Sovereign Rating’ pada hutang baru itu untuk disuntik ke dalam SilTerra? Tidakkah ini mirip jaminan kerajaan berbentuk ‘Contigent Liability’?
“Malah Pemuda UMNO juga ingin bertanya adakah ini sebenarnya peranan sebenar Khazanah Nasional seperti yang digembar-gemburkan oleh perdana menteri sebelum ini?,” soalnya.
No comments:
Post a Comment