Walaupun Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) telah menegaskan penahanan Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu lain atas dakwaan rasuah tiada kaitan dengan politik, namun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus menganggap tindakan suruhanjaya itu kononnya satu konspirasi bagi menjatuhkannya sebagai Menteri Besar Selangor.
Seolah-olah cuba menutup kepincangan dalam pentadbiran serta maruah peribadinya, Mohamed Azmin dalam kenyataan terbaharunya hari ini mempertikaikan penjelasan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengenai penahanan tersebut selain menyifatkan ia sebagai satu jenaka.
Beliau berkata, “Ia (penjelasan Dzulkifli) jadi bahan ketawa. Ini (tindakan menahan Mohd. Nuzul Fadli) bermotifkan politik”.
Dzulkifli kelmarin menegaskan bahawa penahanan Mohd. Nuzul Fadli yang merupakan anak saudara kepada Mohamed Azmin berkaitan rasuah dalam aktiviti perlombongan pasir haram di negeri ini bukan bermotifkan politik.
Sebaliknya, tindakan tersebut menurut beliau adalah berdasarkan maklumat yang diterima oleh pihaknya selain siasatan dilaksanakan secara profesional oleh pasukan penyiasat suruhanjaya itu.
SPRM sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah hakikatnya tidak bersifat ‘buta warna’ dalam mengendalikan sesebuah siasatan kes melibatkan ahli politik.
Kami tidak hairan kalau Mohamed Azmin melemparkan dakwaan sebegitu. Sebenarnya dialah yang sengaja mempolitikkan isu tugas SPRM dan juga kadang-kadang pihak polis.
Bagi Mohamed Azmin, PKR dan sekutunya mengatasi undang-undang (above the law) serta tidak boleh diganggu walaupun menyalah guna kuasa atau rasuah. Sebaliknya, jikalau pemimpin Barisan Nasional (BN) atau UMNO ditangkap, padanya adalah betul dan bukan ‘konspirasi bermotifkan politik’. Kami berpendapat ini adalah satu hujah yang sudah basi serta lapuk yang dimainkan pembangkang sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat untuk meraih simpati rakyat. Rakyat sekarang sudah jemu dengan hujah yang sama dimainkan pembangkang untuk meraih simpati. Sekarang rakyat sudah bijak, serta percaya yang salah melanggar undang-undang tetap salah, walaupun mereka terdiri daripada orang politik.
Sepatutnya orang politik lebih patuh kepada undang-undang sebab merekalah pengubal undang-undang sama ada di DUN atau Parlimen. Masakan mereka pula yang lebih ramai menafikan undang-undang yang mereka telah gubal demi untuk kepentingan peribadi.
Kesimpulannya Mohamed Azmin sebenarnya cuba untuk membentuk persepsi rakyat Selangor bahawa kononnya beliau adalah seorang Menteri Besar yang maksum, iaitu tidak melakukan sebarang kesalahan seperti salah guna kuasa atau rasuah. Walaubagaimana pun dengan kuasa Allah masa dan keadaan akan menentukannya sama ada beliau benar-benar maksum.
No comments:
Post a Comment