Saturday 2 December 2017

MOHAMED AZMIN ALI IBARAT LEMBU PUNYA SUSU SAPI DAPAT NAMA.


Sudah beberapa kali Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendabik dada memberitahu rakyat Selangor bahawa beliau telah membuat pembangunan itu dan ini di Selangor. Malah lebih hebat daripada itu, katanya Kerajaan Pusat juga meniru beberapa idea pembangkang, salah satu contohnya seperti penutupan Plaza Tol Sungai Rasah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Ser Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.

Hakikatnya, penutupan plaza tol itu adalah hasil usaha UMNO Selangor yang membawa suara rakyat untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan negara, sejak sekian lama. Sebab itu amat lucu apabila Azmin secara tiba-tiba mendakwa ia adalah hasil perjuangannya. Persoalannya mengapa beliau tidak hapuskan kutipan tol tersebut sebaik sahaja memegang tampuk kuasa di Selangor?

Kami ingin bertanya kepada Menteri Besar, di mana kepada Menteri Besar, di mana pembangunan Selangor yang beliau boleh banggakan? Apakah faktor wow yang beliau boleh buktikan itu adalah usaha beliau dalam membangunkan negeri ini? Sedarkah beliau bahawa ketika Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) mengambil alih negeri Selangor, mereka umpama masuk ke sebuah rumah yang sudah dipenuhi kelengkapan.

PKR dan gerombolannya hanya masuk dengan ‘mencuci kaki’ dan ‘memasang langsir’ sahaja, menukmati segala kemudahan yang telah tersedia, tetapi tidak semena-mena mendakwa segala kelengakapan itu hasil usahanya. Ini ibarat lembu punya susu sapi dapat nama.

Begitulah lebih kurang analoginya dengan perangai seorang Menteri Besar yang tidak ada idea atau usaha sendiri tetapi suka mengambil kredit daripada usaha orang lain. Apakah Azmin Ali seorang yang tidak tahu malu? Apakah beliau menganggap rakyat Selangor terlalu bodoh hingga tidak tahu hujung dan pangkal siapa yang membangunkan Selangor sehingga menjadi sebuah negeri maju seperti yang ada hari ini. Apa yang jelas hari ini, kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang hanya tahu untuk menjual aset-aset negeri untuk mendapat hasil yang cepat serta mudah, tanpa sebarang usaha menjana pendapatan melalui pelaburan jangka panjang. Rakyat Selangor perlu sedar pada jangka panjang apabila tiada aset lagi yang boleh dijual, macam mana nasib anda, rakyat negeri Selangor ketika itu? Oleh itu sebelum negeri ini menjadi bankrap, maka adalah wajar kerajaan pimpinan Azmin Ali ditumbangkan dalam PRU ke-14 akan datang.

Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin tanpa segan silu menjual bangunan PKNS, menjual Hotel Brisdale, Hotel Quality Inn, lima unit apartmen di Mekah dan lain-lain milik kerajaan negeri, termasuklah menjual beberapa tapak perniagaan untuk peniaga-peniaga kecil milik majlis perbandaran kepada syarikat swasta dengan harga jutaan ringgit. Dan ini dilakukan semacam harta milik bapak beliau dan bukan harta milik rakyat.

Malah lebih menyedihkan apabila kerajaan Pakatan Harapan telah menutup Yayasan Selangor, sebuah yayasan yang ditubuhkan ketika Selangor di bawah pemerintahan BN untuk membantu anak-anak Selangor luar bandar melanjutkan pelajaran mereka terutama anak-anak Melayu luar bandar.

Begitu juga dalam soal rumah murah dan rumah mampu milik. Kami merasa amat terkilan apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang ditubuhkan untuk membina rumah-rumah mampu milik untuk rakyat Selangor berpendapatan rendah, kini sudah bertukar dasar di bawah kerajaan pakatan pembangkang.

PKNS yang ditubuhkan bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya orang Melayu dalam isu-isu pemilikan hartanah, kini seumpama sebuah syarikat pemaju swasta yang mahu mengaut untung tanpa mempedulikan lagi nasib rakyat yang menjadi asas penubuhannya, khususnya orang Melayu.

Bila kita sebut Yayasan Selangor dan PKNS sudah tentu ia ada kaitan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan oleh kerajaan BN untuk mengimbangi ekonomi masyarakat berbilang kaum. Dan bila kita sebut DEB sudah tentu ia ada kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153, iaitu ‘Hak keistimewaan orang Melayu’.

Justeru itu, untuk mematuhi kehendak DAP, Azmin dipertanggungjawab untuk menghalang atau menafikan hak orang Melayu mengikut perlembagaan daripada terus dilaksanakan di negeri Selangor.

Satu lagi contoh pematuhan Azmin di bawah telunjuk kuasa DAP ialah beliau sebagai seorang Menteri Besar beragama Islam telah bersubahat dengan membenarkan  ‘Pesta Minum Arak’ di adakan di negeri Selangor. Dengan membenarkan pesta tersebut, bukan sahaja beliau telah menghina agamanya sendiri, malah beliau juga telah menghina Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Islam sebagai agama persekutuan.

Deangan itu, adalah jelas di sini, walaupun kerajaan negeri Selangor kononnya merupakan kerajaan PKR namun kuasa dominan di sebaliknya ialah DAP sebab mempunyai 15 kerusi berbanding PKR hanya 13 kerusi sahaja. Sebab itulah sebagai Menteri Besar, Azmin tidak ada kuasa mutlak untuk menentukan dasar pentadbiran kerajaan negeri bersendirian, melainkan ia dipersetujui oleh DAP. Dengan kata mudah, beliau adalah merupakan pemimpin boneka DAP yang tidak langsung diberi ruang dan peluang untuk mempertahankan bangsa dan agama beliau sendiri.

Apakah Azmin merasakan dengan ideanya memberikan perkhidmatan bas percuma sudah memadai bagi menutup kelemahan serta kegagalannya di mata rakyat terutama sekali orang Melayu dan Islam? Apakah dengan adanya perkhidmatan bas percuma itu membuktikan Selangor kini bertamabah maju? Kami melihatnya ia hanya sebagai satu gula-gula politik jangka pendek yang tidak relavan dengan denyut nadi keperluan rakyat yang utama.

Berapa kerat rakyat seluruh negeri Selangor yang dapat menikmati perkhidmatan bas percuma itu terutama di luar bandar yang memerlukannya dan apakah rakyat di bandar kawasan DUN terpilih sahaja akan semakin kaya dan senang dengan perkhidmatan bas percuma yang dibangga-banggakan Azmin itu? Hakikatnya apa yang kami lihat di bandar DUN terpilih, perkhidmatan bas berbayar lebih banyak dinaiki penumpang daripada perkhidmatan bas percuma kerana, di samping mempunyai banyak bas pada sesuatu laluan, ia juga diuruskan secara profesional dengan megadakan bas gantian dan tim pembaikan sekiranya berlaku kerosakan serta mempunyai jadual kekerapan yang menetapi masa.

Kami lihat Azmin kini hidup bagaikan di dalam fantasi. Seolah-olah Selangor yang membangun itu dibina atas usaha beliau dan gerombolan pakatan pembangkang yang baru dua penggal memerintah, itu pun bukan kerana mereka bagus tetapi kerana sedikit kekecohan dalaman UMNO Selangor. Beliau perlu sedar daripada fantasinya dan melangkah masuk ke alam realiti. Realitinya hari ini, status Selangor sebagai negeri maju sudah tercalar sebaik sahaja pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri.

Pakatan pembangkang seperti ‘berok mendapat bunga’ iaitu gagal menilai keindahan dan kewangian bunga, dibinasakan bunga itu (kemajuan dan kemakmuran Selangor) melalui rasuah, salahguna kuasa dan keangkuhan pemimpinnya serta mengabaikan kebajikan rakyat. Mana dia selogan ‘Selangor negeri kebajikan?’

Oleh kerana terlalu kuat berpolitik daripada kebajikan rakyat, isu air yang tidak pernah menjadi isu besar di negeri itu tiba-tiba menjadi isu kronik dan kritikal akibat kedangkalan pemimpin pembangkang yang lebih mengutamakan kepentingan politik mereka berbanding kesusahan rakyat.

Di zaman pemerintahan pakatan pembangkanglah, air di Selangor dicatu secara besar-besaran sehingga menyebabkan peniaga dan kilang-kilang industri di Selangor menghadapi masalah.

Pada zaman pemerintahan pakatan pembangkanglah, isu ketiadaan air menjadi begitu serius sehingga bertukar menjadi satu krisis di mana hampir keseluruhan rakyat Selangor, berada dalam kesusahan dan kepayahan akibat ketiadaan air untuk beberapa hari.

Dan di zaman pembangkang jugalah Selangor digelar negeri ‘Darul Denggi’ apabila isu pengutipan sampah, tiada pemantauan projek pembangunan yang tidak efektif telah menyebabkan Selangor menjadi negeri nombor satu paling banyak penularan kes demam denggi di negara ini.

Azmin boleh bercakap apa sahaja yang beliau suka, tetapi hakikatnya beliau tidak mampu untuk menutup mata dan minda rakyat Selangor daripada melihat bermacam-macam kegagalan dan kelemahan di dalam pentadbiran pakatan pembangkang, khususnya di bawah pentadbirannya hari ini.

Bagi kami, sepatutnya Azmin dan gerombolan pemimpin pembangkang di Selangor mengaku sajalah kelemahan mereka. Pimpinan pembangkang sebenarnya masih tidak mampu setelah dua penggal mentadbir negeri Selangor. Bukan mereka ini dapat menambah baik apa yang ada di dalam negeri, bahkan untuk menjaga dan mengekalkan pembangunan yang sedia ada juga mereka gagal lakukan. Mereka ibarat ‘memikul biawak hidup’ walaupun wujud tetapi terlalu membebankan rakyat Selangor.

Sebagaimana tunggang-langgang pembangkang mengurus tadbir parti dan pakatan mereka, begitu jugalah tunggang-langgang mereka dalam mentadbir negeri Selangor.

Oleh itu rakyat Selangor harus mengambil ikhtibar terhadap permasaalahan ini yang dihadapi selama dua penggal. Ia harus dijadikan satu rumusan yang bijaksana untuk membuat keputusan berasaskan realiti dan bukanya emosi dan persepsi pada PRU Ke 14 akan datang.

  












No comments:

Post a Comment