Kami menyifatkan program-program kerajaan negeri seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Bas Smart Selangor, Peduli Sihat dan lain-lain program kerajaan negeri hanyalah sebagai gula-gula pilihan raya bagi menarik hati pengundi semata-mata, sedangkan program-program tersebut hanya dapat dinikmati oleh segelintir rakyat sahaja dan bukannya rakyat Selangor secara keseluruhannya.
Kami lihat, program yang dibuat oleh kerajaan negeri itu boleh diumpamakan seperti pepatah Melayu, ‘melepaskan betuk di tepi tangga’ dan ia diwujudkan sekadar untuk mengaburi mata rakyat, kononnya apa yang dibuat oleh kerajaan negeri itu lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh kerajaan pusat untuk rakyat.
Contohnya seperti program KISS. Dulu pemimpin pembangkang termasuk Azmin mengkritik apabila kerajaan mewujudkan skim BR1M dan mendakwa pengagihan subsidi secara terus kepada kumpulan sasar itu merupakan satu bentuk rasuah. Tetapi hari ini, mereka juga meniru program tersebut melalui KISS.
Tetapi yang malangnya, pemberian KISS tidaklah menyeluruh dan saya mendapat aduan di mana hanya mereka yang terpilih sahaja dapat menikmatinya. Bahkan syarat yang diletakkan oleh Kerajaan Selangor yang menetapkan mereka yang layak menerima KISS adalah golongan yang tidak mendapat bantuan BR1M daripada kerajaan pusat. Sedangkan mana-mana rakyat yang bergaji di bawah RM2,000 sudah pasti akan menerima BR1M.
Begitu juga dengan perkhidmatan Bas percuma. Ianya terhad kepada rakyat di kawasan tertentu sahaja dan tidak menyeluruh. Skim Peduli Sihat pula yang memperuntukkan RM50 untuk satu keluarga dilihat tidak begitu efisyen dan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja, berbanding perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan yang hanya dikenakan bayaran RM 1 sahaja.
Tambah lagi kerajaan Selangor seolah-olah tidak mempunyai idea-idea baru untuk dilaksanakan dalam usaha untuk memberi kebajikan dan manfaat rakyat selain daripada meniru program-program kerajaan Barisan Nasional (BN).
Apabila berucap di hadapan rakyat, Azmin kata kerajaan pusat meniru idea kerajaan negeri Selangor, sedangkan hakikatnya kerajaan Selangorlah di bawah pimpinannyalah yang lebih banyak mencedok idea-idea kerajaan pusat.
Kita dapat lihat tidak ada pembangunan di Selangor yang boleh dibanggakan oleh rakyat di negeri ini sepanjang pakatan pembangkang memerintah. Apa yang kerajaan Selangor tahu hanyalah menjual aset-aset kerajaan negeri untuk mendapat keuntungan segera.
Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Selangor di bawah pentadbiran pakatan harapan ketandusan idea-idea baru yang boleh diimplementasikan untuk manfaat rakyat. Mereka hanya terlalu fokus untuk berpolitik sepanjang masa, sehingga tidak ada masa untuk memikirkan idea-idea dan program yang perlu diwujudkan untuk membantu rakyat.
No comments:
Post a Comment