Monday 4 December 2017

LIM KIT SIANG PERLU BERTERIMA KASIH KEPADA SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA KERANA MENUNAIKAN HAJATNYA


Skandal kerugian luar biasa urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an yang lebih dua dekad berstaus X kini hampir terlerai misterinya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal itu ekoran pendedahan bekas penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid pada Januari tahun ini, memasuki dimensi baharu iaitu siasatan polis.

Laporan RCI itu membuktikan bahawa pendedahan Murad berasas dan kerugian sebanyak RM31 bilion yang sebelum ini cuba dinafikan, adalah nyata. Malah antara lain laporan RCI merumuskan:

Terdapat bukti kemungkinan wujudnya kesalahan pecah amanah;
Kerugian sebenar disembunyikan oleh beberapa individu;
Urus niaga mata wang asing melampaui had dan bersifat spekulatif;
Menteri Kewangan sengaja sembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Kabinet dan
Perdana Menteri ketika itu merelakan tindakan Menteri Kewangan.


Kami ucap tahniah kepada Murad atas keberanian tampil membongkar skandal itu demi mencari kebenaran. Apatah lagi ia merupakan kerugian urus niaga mata wang yang terbesar bukan sahaja dalam sejarah negara ini, malah dalam sejarah dunia. Negara bukan sahaja kerugian sebanyak RM31.5 bilion bahkan Kerajaan Persekutuan hilang pendapatan dividen mencecah RM1 bilion setahun bagi tempoh 1993 hingga 1997, yang memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia.

Hal ini disahkan oleh Pengerusi RCI Mohd. Sidek Hassan sebagaimana terkandung dalam laporan suruhanjaya itu. Banyak lagi implikasi kepada negara akibat skandal itu yang tidak boleh dibiarkan tanpa mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Maka atas kewajaran itu RCI mengesyorkan siasatan dilakukan ke atas empat tokoh iaitu bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, dua bekas Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim dan Daim Zainuddin serta bekas Penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop.

Ia bagi menentukan sama ada setiap daripada mereka boleh disabitkan dengan kesalahan berkaitan seperti dinyatakan RCI tidak menolak kemungkinan Nor Mohamad adalah individu utama bertanggungjawab melakukan pecah amanah terhadap dana BNM berdasarkan bukti yang diperolehi. Kami yakin polis akan menjalankan siasatan terbaik dan menyeluruh berpandukan laporan RCI.

Dalam hubungan ini, pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang seharusnya berpuas hati kerana desakan beliau sebelum ini supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat kerugian BNM itu telah disempurnakan oleh kerajaan dengan cekap dan telus. Hajatnya tidak lama dahulu untuk melihat tokoh-tokoh berkenaan disiasat, juga kesampaian.

Tanpa dijangka, ia kini sudah menjadi beban masalah kepada Pakatan Harapan kerana Dr. Mahathir dan Anwar adalah pemimpin PPBM dan PKR. Dahulunya mereka seteru tapi sekarang sekutu utama kepada Kit Siang. Juga bermakna liabiliti atau ‘memikul biawak hidup’ sudah berpindah daripada BN ke Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment