Sekali lagi bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad melepaskan kesempatan terbaik untuk tampil rasional pada sisa usia lanjutnya.
Gesaan beliau mahu Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara kerana mendakwa pemimpin PKR itu menjadi mangsa tahanan politik, membuatkan kami mengeleng kepala. Apa pun kita perkatakan tentang luar biasa dan ekstrem negarawan itu, beliau seperti telah hanyut dan tidak akan kembali kepada asal. Dr. Mahathir bukan setakat melakukan pusingan U berulang kali dalam pendirian politik malah istilah yang paling tepat adalah asyik mencabul prinsip. Setahu kami, tiada bekas ketua kerajaan dalam dunia era moden yang berperilaku begitu. Malah Mahathir telah memecah rekod dalam World Guiness Book of Record tentang perilaku anih mantan seorang ketua kerajaan.
Manusia apatah lagi negarawan dihormati kerana prinsip yang dipegang. Prinsip tidak boleh bertukar-tukar semudah mengganti sapu tangan atau seluar dalam. Lebih-lebih lagi dalam soal kritikal melibatkan jenayah, maruah, hak dan kesannya kepada negara serta masyarakat.
Dalam isu Anwar, pemimpin PKR itu dipenjarakan atas kesalahan meliwat ekoran aduan mangsanya, Saiful Bukhari Azlan. Bukan rahsia lagi bahawa Dr. Mahathir adalah tokoh yang mengheret Anwar ke penjara terlebih dahulu atas akhlak yang buruk dan jenayah seksual. Itulah asas perjuangannya dalam menentang Anwar selama dua dekad.
Campur tangan kuasa asing untuk membebaskan Anwar sebelum ini juga beliau tentang habis-habisan. Maka apabila beliau bersubahat dengan peguam asing, Kimberly Motley mahukan Anwar dibebaskan baru-baru ini, ia hanya menjadi bahan senda selain menjatuhkan lagi imej Pakatan Harapan (pakatan haram yang wujud masih belum diluluskan ROS) justeru itu menjadikan beliau sebagai libaliti kepada pakatan itu, terutamanya PPBM yang beliau pimpin. Makin banyak beliau buka mulut, makin banyak masalah menimpa Pakatan Harapan.
Masalah besar dengan Dr. Mahathir adalah beliau dikawal oleh nafsu dengan emosi liar dan kemarahan menyebabkannya hilang sama sekali elegan seorang pemimpin.
Kami bersimpati dengan nasib menimpa Saiful yang menjadi mangsa kerakusan dua pemimpin, satu kerana nafsu shawat tidak terkawal dan satu lagi, berbudaya politik yang jelik. Suatu ketika Dr. Mahathir meyakinkan dunia beliau mahu membantu Saiful yang dianiaya Anwar.
Kini Dr. Mahathir pula yang mengkhianati Saiful semata-mata mahu meraih sokongan politik daripada PKR pimpinan Anwar. Dunia seperti berundur ke belakang - keadilan hanya buat pemimpin hipokrit serta munafik bukannya rakyat kerdil. Anehnya Saiful terpaksa menasihatkan bekas Perdana Menteri itu agar menghormati keputusan mahkamah, yang nasihat sama dilaungkan oleh Dr. Mahathir kepada Anwar dan semua pihak sebelum ini.
Ketika dunia hari ini makin cenderung membela individu yang menjadi mangsa salah laku dan gangguan seksual, Dr. Mahathir membunuh prinsipnya - tiada belas kasihan. Muka depan Majalah Time bertajuk Person Of The Year terbitan 18 Disember 2017 mengangkat 61 individu yang tampil mendedahkan salah laku dan gangguan seksual sebagai wira dan wirawati majalah itu.
Situasi Saiful sangat berbeza, keberaniannya mendedahkan kemungkaran besar dan mahu mendapatkan keadilan serta memperjuangkan kebenaran, berdepan dugaan besar. Namun kami tetap kagum dengan ketabahan Saiful yang menempuh pelbagai liku termasuk dicemuh sejak menjadi mangsa Anwar pada Jun 2008.
Semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan kepada beliau sebagaiman yang selalu diluahkan - yang hak pasti berdiri, yang batil pasti jatuh.
Kepada Dr. Mahathir, bayak persoalan berlegar dengan perkembangan terbaru ini. Jika Anwar menjadi tahanan politik seperti didakwa, apakah beliau mahu memohon maaf kepada semua? Apa pun, moga kecelaruan yang dihadapi oleh Dr. Mahathir sekarang di atasi segera sebelum segala-galanya terlewat.
Jangan sampai dipukul penyesalan yang dahsyat kemudian hari. Renungkan sejenak. Negarawan bukan dinilai dengan apa yang dimulakan tetapi apa pengakhirannya.
Pengakhiran hayat Dr. Mahathir penuh dengan kontraversi yang tidak berprinsip dan penuh dengan politik yang jelik. Dengan itu beliau adalah tidak layak untuk diiktiraf sebagai seorang negarawan negara ini.
No comments:
Post a Comment