Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti PPBM dan mengumumkan menyertai Pakatan Harapan (PH), bersorak sakan penyokong pembangkang kerana percaya bekas Perdana Menteri yang paling lama dalam sejarah negara ini adalah satu anugerah terhebat untuk mereka. Pemimpin PH menaruh keyakinan menggunung kepada Mahathir untuk memecah belahkan sokongan orang Melayu kepada UMNO.
Bagi UMNO pula, mereka tidak boleh berbohong yang mereka juga sebenarnya cemas dan khuatir dengan keputusan Mahathir itu. Dari pemimpin tertinggi parti hinggalah ahli biasa di peringkat bawahan merasa gusar dengan kerjasama Mahathir- Anuar Ibrahim – Lim Kit Siang. Bahkan ada ahli UMNO yang terus keluar parti dan menyertai PPBM kerana percaya Mahathir mampu menumbangkan UMNO pada PRU14.
Kepimpinan UMNO tidak berdiam diri selepas keputusan Mahathir menyertai PH. Parti terbesar dengan keahlian 3.6 juta itu terus menyerang Mahathir dan kisah-kisah silam sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri telah didedahkan semula untuk memulakan perang persepsi terhadap beliau..
Jelas tindakan UMNO mengungkit skandal lampau Mahathir adalah bermotifkan politik bertujuan mendedahkan siapakah Mahathir sebenar. Media-media konvensional sama ada cetak atau elektronik yang dikuasai kerajaan dan rangkaian media sosial telah dikerahkan bagi memastikan kejayaan misi membunuh karektor Mahathir yang berstatus Negarawan itu.
Salah satunya usaha UMNO adalah menubuhkan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI Forex) untuk menyiasat urus niaga sekitar awal 90-an kerana ia tahu Mahathir, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim adalah pemain utama yang menyebabkan kerugian wang negara RM31.5 bilion.
Menggunakan strategi serampang dua mata, UMNO memastikan Lim Kit Siang turut terkena tempias kerana pemimpin DAP itulah individu pertama yang mencadangkan siasatan RCI Forex.
RCI Forex itu merupakan ‘balas dendam’ UMNO kepada Mahathir dan PH yang tidak henti-henti menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1MDB. UMNO juga mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa Mahathir yang sibuk menunding jari kepada Najib rupanya terpalit dengan skandal yang lebih teruk.
Namun perkembangan mutakhir juga menunjukkan UMNO tidak perlu lagi berusaha keras untuk melondehkan Mahathir. Ia yang hanya perlu memantau dari jauh sambil menikmati “pop-corn” apabila Mahathir sendiri mendedahkan kepada rakyat wajah sebenar beliau yang selama ini terselindung di sebalik kononnya kejayaan membangunkan negara.
Konflik beliau dengan DYMM Sultan Selangor menunjukkan ego Mahathir melangit sehinggakan payah untuknya menzahirkan permohonan maaf kepada baginda Sultan. Mahathir seperti tiada hormat kepada Sultan Selangor. Malah, beliau seperti mahu mencabar kesabaran Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah punberang keceluparan Mahathir menghina keturunan Bugis. Awalnya Mahathir mahu memalukan Najib pada Himpunan Anti Kletokrasi tetapi strateginya itu makan diri sendiri.
Mahathir bertindak kurang ajar dengan memulangkan dua pingat kebesaran yang dianugerahkan Almarhum Sultan Selangor, ayahanda kepada Sultan Sharafuddin.
Perbuatan Mahathir itu memberi persepsi negatif kepada orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar. Isu-isu melibatkan Sultan dan raja sangat sensitif kepada masyarakat Melayu kerana institusi raja-raja Melayu lambang ketuanan Melayu.
Tidak keterlaluan jika dikatakan sikap Mahathir dalam konflik itu adalah penderhakaan kepada Sultan dan raja Melayu. Tidak hairan jika masyarakat Melayu terutama di luar bandar berhenti menyokong Pakatan Haaarapan kerana kecewa dengan sikap Mahathir yang tidak beradab dan melangkaui tata susila orang Melayu.
PH perlu bijak menangani konflik Mahathir dan Sultan Selangor jika tidak mahu hilang undi Melayu. Kesan itu diakui beberapa penganalisis politik termasuk pro Pakatan seperti Wan Saiful Wan Jan.
Perbuatan Mahathir selaras dengan propaganda yang dimainkan UMNO yang melabelkan DAP sebuah rasis yang anti Islam dan anti Melayu. Sikap Mahathir juga telah memberi contoh tidak baik kepada bukan Melayu kerana suatu hari nanti mereka pula akan berani menderhaka kepada sultan atau raja kerana terpengaruh degan apa yang Mahathir buat.
Konflik dengan Sultan Selangor adalah kemuncak pendedahan karektor sebenar Mahathir. Beliau pernah menghasut rakyat membenci DAP kerana Lim Kit Siang rasis tetapi sekarang mereka berkawan baik. Dulu Mahathir mengajar rakyat Malaysia menolak DAP kerana rasis tetapi sekarang beliau melabel MCA pula parti rasis. Mahathir juga menyalahkan polis dalam Ops Lalang dan Tragedi Memali sedangkan ketika kejadian,beliau adalah ketua kerajaan.
Sikap berdolak dalik, ego dan tidak pernah meminta maaf atas kesalahan dilakukan
termasuk memenjarakan Anwar sehingga tertubuhnya PKR yang menjadi titik perpecahan orang Melayu, maka layakkah Mahathir dianggap aset kepada PH atau libiliti yang akan menjahanamkan lagi PH?
termasuk memenjarakan Anwar sehingga tertubuhnya PKR yang menjadi titik perpecahan orang Melayu, maka layakkah Mahathir dianggap aset kepada PH atau libiliti yang akan menjahanamkan lagi PH?
Walau apapun yang dilakukan Mahathir, jasa-jasa beliau membangunkan negara, daripada negara pertanian kepada perindustrian dan digeruni di dunia tetap akan dikenang rakyat Malaysia. Seperti kata perpatah, pemimpin datang dan pergi. Begitu juga Mahathir, beliau tidak lagi sesuai untuk menjadi Perdana Menteri bukan sahaja kerana usia lanjut tetapi oleh kerana zaman kegemilangannya sudah pun berlalu.
No comments:
Post a Comment