Wednesday 20 December 2017

PROJEK ECRL : NAJIB BELAJAR KESILAPAN MAHATHIR DAN DAIM PINJAM BANYAK DARI JEPUN TERPAKSA BAYAR BALIK LEBIH.


Pembiayaan asing bagi projek pelaburan domestik adalah bukan lagi konsep terkini di Malaysia.

Semasa kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, projek-projek seperti KLIA, loji janakuasa hidroelektrik Kenyir, Stesen Janakuasa Tuanku Ja’afar dan lain-lain dibayar oleh pinjaman dari Jepun. Lebih hampir sekarang, jambatan kedua Pulau Pinang juga dibiayai pinjaman dari China.

Kita belajar daripada kesilapan kerajaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim yang meminjam banyak dari Jepun tetapi akhirnya terpaksa membayar balik lebih dua kali ganda apabila nilai Yen naik mendadak berbanding ringgit. Bagi projek ECRL pembayaran balik akan dibuat selepas rel berkenaan mula beroperasi serta menjana pendapatan.

Mengulas kenyataan Daim baru-baru ini yang mempersoalkan kewajaran ECRL dibiayai dengan pinjaman daripada Export Import Bank of China (EXIM) dan menyifatkankan sebagai bukan pelaburan untuk negara.

Sebenarnya, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah pelaburan domestik dan bukannya pelaburan terus asing kerana kerajaan menetapkan pemilikan dan operasi rel berkenaan perlu berada dalam tangan Malaysia atas sebab keselamatan dan strategi ekonomi.

Selain projek itu merupakan projek pelaburan domestik, ia dibiayai oleh pinjaman mudah dari China dan kadar faedah pinjaman adalah lebih rendah daripada kos dana kerajaan.

ECRL akan dikendalikan oleh anak syarikat milik 100 peratus Kementerian Kewangan, Malaysia Railway Link Sdn. Bhd. (MRL) yang telah mendapat pinjaman yang distruktur dengan mekanisme untuk mengurangkan risiko dalam kadar pertukaran mata wang asing sebagaimana berlaku terhadap projek yang dilaksanakan semasa era Mahathir.

Bagaimanapun, jika Tun Daim atau Tun Dr. Mahathir mempunyai masalah dengan projek ECRL menjadi pelaburan domestik dengan pinjaman luar dan bukannya pelaburan asing, kami sarankan mereka keluarkan satu kenyataan rasmi menyeru agar kerajaan menjual infrastruktur ECRL dan meletakkan sepenuhnya dalam pemilikan dan kawalan asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyifatkan ECRL sebagai projek pemacu pembangunan yang telah lama tertangguh bagi menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur menerusi rangkaian rel yang efisien dan selamat.

Projek penting ini sepatutnya dibina pada era Tun Dr. Mahathir semasa kosnya lebih rendah. Malangnya, Tun Dr. Mahathir memilih untuk membina projek-projek mega lain yang hanya tertumpu di kawasan lembah Kelang untuk bermegah-megah berbanding rangkaian pembangunan seluruh negara untuk nikmati semua rakyat seperti ECRL, Keretapi Laju Kuala Lumpur- Singapura (HSR), MRT dan Lebuh Raya Pan Borneo.

No comments:

Post a Comment