Saturday 16 December 2017

KES RASUAH GUAN ENG : SEKSYEN 62 AKTA SPRM DIBACA BERSAMA SEKSYEN 51A KANUN PROSEDUR JENAYAH TIDAK BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN.


Mahkamah Persekutuan kelmarin memutuskan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang mensyaratkan tertuduh menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan bermula, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dengan keputusan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Perniagaan, Phang Li Koon perlu menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pendakwaan sebelum perbicaraan kes rasuah mereka didengar di Mahkamah Tinggi.

Demikian keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed ketika membenarkan rayuan SPRM.

Hakim Md. Raus ketika mengumumkan keputusan itu menyatakan, Seksyen 62 yang dibaca bersama Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) berkaitan kebebasan diri dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak untuk dilindungi undang-undang secara sama-rata.

Pada hemat panel itu, Seksyen 62 tidak menghalang tertuduh pada mana-mana peringkat perbicaraan untuk menyerahkan kepada pihak pendakwaan dokumen tambahan yang akan dikemukakan segala bukti keterangan dalam kes pembelaan serta perkara-perkara yang menjadi isu dalam pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut berpendapat, seksyen berkenaan menyentuh perkara berkaitan penyerahan dokumen kepada pendakwaan sebelum prosiding perbicaraan bermula, bukannya berkaitan isu penerimaan masuk sebagai bukti keterangan kes.

Sehubung itu, panel berkenaan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 10 Januari 2018 depan untuk sebutan kase di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagi pengurusan kes.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Tuduhan pertama, beliau sebagai penjawat awam, ia itu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar pada 18 Julai 2014.

Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta di kediaman tersebut pada 28 Julai 2015.

Sebagai bekas pemilik banglo itu, Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan pada tarikh yang sama.

No comments:

Post a Comment