Wednesday 13 December 2017

MOHAMED AZMIN ALI HANYA BERGANTUNG KEPADA GIMIK DAN BILL BOARD IKLAN UNTUK MEMERINTAH NEGERI SELANGOR.


Jika kita singkap kembali tempoh pentadbiran Timbalan Presiden PKR itu sejak menjadi Menteri Besar bermula 23 September 2014 sehingga kini, Mohamed Azmin Ali mungkin boleh dianggap seperti ‘seorang budak yang gemarkan puji-pujian’ walaupun apa yang dilakukan itu hanyalah berbentuk retorik dan gimik untuk ditangkap gambar semata-mata - selain tidak memberi kesan tuntas dalam penyelesaian masalah sebenar kesejahteraan rakyat Selangor.

Lihatlah di seluruh negeri Selangor bermula dari utara Kuala Kubu Bharu membawa ke Tanjung Malim; ke persisir pantai barat dari Tanjung Karang melalui Kelang membawa ke Kuala Langat, Morib dan Sepang; ke arah timur Kajang, Ulu Langat dan Ampang dipenuhi dengan bill board iklan yang mempromosikan Azmin Ali dengan pelbagai  kenyataan retorik tertentu seperti “Peduli Rakyat”, “Peduli Kesihatan” dan perkataan yang lazim digunakan ialah “peduli” dan bermacam-macam peduli lagi, tetapi hakikatnya beliau tidak pernah peduli kepada masalah rakyat. Diyakini semua pengiklanan ini menelan belanja berjuta-juta ringgit wang rakyat bagi seluruh negeri Selangor demi hanya untuk mempromosikan Azmin Ali atas kepentingan politik.

Adakah dengan bill board iklan ini sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor?

Lihat sahaja Program Terjah yang dilaksanakan di peringkat awal pentadbirannya, Azmin Ali dilihat berlagak ke hulu ke hilir dengan berbut getah berwarna kuning (macam dalam siri komedi TV ‘Pua Chu Kang’) masuk longkang, cuci kain, buang sampah, banteras pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.

Namun, apa jadi dengan Program Terjah pada hari ini? Boleh dikatakan program itu tidak lagi wujud, sekali gus mengiyakan pandangan pelbagai pihak sebelum ini bahawa program tersebut hanyalah cubaan untuk mengaburi mata rakyat kononnya beliaulah Menteri Besar yang ‘peduli’ dengan permasalahan rakyat negeri ini.

Hakikatnya, rakyat Selangor sehingga hari ini tidak putus-putus dirundung malang dan tidak dipedulikan.

Daripada masalah sampah, masalah longkang, masalah kemudahan perumahan rakyat sehinggalah kepada masalah penularan wabak denggi yang mana setakat 3 Disember 2017, sebanyak 43,018 kes dilaporkan di Selangor iaitu angka tertinggi dicatatkan berbanding negeri-negeri lain di negara ini, sehingga dikenali sebagai ‘Selangor Darul Denggi’.

Melihat kemelut dihadapi rakyat Selangor pada hari ini, beliau dianggap seperti hanya pandai bercakap, tetapi apabila masuk bab pelaksanaan, tidaklah begitu gah seperti mana diperkatakan, bahkan ada sahaja lompang di sana sini.

Begitu juga nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah di Selangor. Hak mereka turut dinafikan kerajaan negeri apabila didakwa membenarkan amalan salah laku dan penyelewengan di sebalik kelulusan pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Tanjung Karang kepada 18 penerima yang didapati tidak wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara.

Malahan, lot tanah itu difahamkan turut diberikan kepada para penerima tidak layak mengikut syarat sebagaimana digariskan dalam Pekeliling Pejabat Tanah dan Galian Selangor Bilangan 6/2011 termasuk dakwaan lot-lot tanah dibolot seorang pemimpin PKR yang dikatakan rapat dengan Mohamed Azmin.

Selain skandal tanah, Mohamed Azmin seolah-olah tidak ‘peduli’ atau mungkin cuba buat-buat ‘tidak peduli’ isu rasuah membabitkan aktiviti perlombongan pasir dan batuan haram yang berlaku di Selangor. Ini jelas bertentangan dengan promosi terhadap beliau di bill-bill board di seluruh negeri Selangor yang mempamirkan bahawa beliau ‘peduli’ dalam semua hal berkaitan dengan pentadbiran negeri Selangor. Indah kabar dari rupa untuk menipu rakyat Selangor.

Walaupun kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), sepatutnya isu rasuah serta ketirisan membabitkan perlombongan hasil bumi itu dapat ditangani dengan baik.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin atas sikap tidak ‘peduli’ gagal mengekang masalah itu sebaliknya terus menjadikan KSSB sebagai sebuah entiti yang memonopoli aktiviti perlombongan pasir di Selangor. Ini sekali gus mempunyai kuasa mutlak dalam menentu serta meluluskan permohonan permit pengeluaran pasir dan batuan membabaitkan tanah milik kerajaan negeri.

Terbaharu, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin terpalit dengan skandal perlombongan pasir yang mungkin berpunca daripada keputusan kerajaan negeri meluluskan pindaan Garis Panduan Pengeluaran Permit Bahan Batuan (Borang 4C) bagi tujuan perlombongan pasir menerusi Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 2/2015 berkuat kuasa 1 April 2015 iaitu kira-kira lapan bulan beliau memegang jawatan Menteri Besar. Dalam hal ini, beliau sudah tentu ‘peduli’ sebab ia boleh memberi kuasa kepadanya.

Jika diteliti dasar Mohamed Azmin dalam pengurusan perlombongan pasir di negeri ini, ia didapati mudah terdedah kepada risiko penyalahangunaan kuasa serta rasuah kerana KSSB mungkin boleh memilih mana-mana syarikat yang ada kepentingan untuk diberikan permit pengeluaran pasir.

Justeru, melihat perkembangan di Selangor ketika ini, sudah tentunya rakyat mampu menilai setakat mana ‘kepedulian’ Mohamed Azmin terhadap rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Sepatutnya sebagai Menteri Besar, beliau harus mengotakan janjinya untuk benr-benar ‘peduli’ terhadap rakyat serta pentadbiran negeri bukan dengan gimik serta mempromosi diri sendiri di bill-bill board seluruh Selangor.

No comments:

Post a Comment