Saturday, 9 December 2017

DAP JANGAN MAIN WAYANG MEMPERALATKAN ZAID IBRAHIM UNTUK MEMBERI KATA DUA ATAU MENGUGUT SULTAN SELANGOR.


UMNO Selangor mencabar DAP untuk mengambil tindakan terhadap pemimpinnya, Zaid Ibrahim sekiranya segala kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tersebut tidak menggambarkan pendirian parti itu.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, DAP tidak seharusnya mengambil sikap berkecuali dan berdiam diri berhubung sikap biadap Zaid Ibrahim terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dalam kenyataannya yang seolah-olah memberi kata dua kepada Sultan Selangor di media sosial baru-baru ini.
“Kita mencabar DAP agar mengambil tindakan terhadap Zaid sekiranya apa yang dikatakan oleh pemimpin Melayu DAP itu tidak menggambarkan pendirian parti mereka. Janganlah bersandiwara dengan bersikap lepas tangan dan mendakwa kenyataan itu adalah kenyataan peribadi dan bukan pendirian parti.
“Mahu tidak mahu, bagi kita kenyataan Zaid itu adalah suara parti DAP. Jika DAP merasakan apa yang dikatakan oleh Zaid itu bukan antara perjuangan parti itu, maka DAP kena bertindaklah, termasuk memecat keahlian Zaid dalam DAP.
“Jadi DAP tak payahlah nak bermain wayang dalam isu kenyataan Zaid ini,” demikian tegasnya kepada UMNO-Online ketika di temui di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Pegawai Publisiti DAP Selangor, Tony Pua hari ini membuat kenyataan berhubung perkara tersebut dan mendakwa kenyataan pemimpin Melayu DAP itu bersifat peribadi dan bukanlah suara parti.
Tambah Noh lagi, sekiranya ada ahli UMNO yang membuat kenyataan seperti Zaid itu, pastinya DAP akan menuduh bahawa itu adalah suara UMNO dan bukannya pandangan peribadi pemimpin itu sendiri.
“Tapi bila ahli DAP seperti Zaid itu mengeluarkan kenyataan biadap seperti itu terhadap Sultan Selangor, pandai pula mereka mendakwa bahawa itu hanyalah kenyataan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian parti.
“Sebab itu saya tegaskan, jika betul DAP tidak merestui kenyataan Zaid itu, maka mereka kenalah ambil tindakan tegas terhadap Zaid. Kalau tidak, ini bermakna Zaid itu adalah kuda tunggangan DAP untuk mencabar institusi Melayu seperti institusi kesultanan di negara ini,” ujarnya.
Katanya, DAP cukup bijak bak kata pepatah Melayu, baling batu sembunyi tangan dalam isu-isu yang melibatkan institusi dan hak-hak orang Melayu dengan mempergunakan orang Melayu sendiri untuk menyerang dalamn isu-isu seperti ini.
“Ini kerana jika DAP sendiri yang bercakap menghentam institusi Melayu dan Raja-Raja di negara ini, pastinya akan membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu di negara ini.
“Dan jika kita lihat trend DAP sekarang ini, jelas mereka ini bijak untuk berselindung di belakang tabir dengan  mencari orang Melayu yang boleh mereka pergunakan dan menjadi kuda tunggangan untuk menyuarakan dasar perjuangan mereka,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment