Wednesday 3 January 2018

ANALISIS - UMNO MAMPU MENANG DALAM PRU 14.



Sebahagian besar penganalisis politik menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menyaksikan pertembungan hebat antara dua parti mewakili orang Melayu di Malaysia iaitu UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

UMNO dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak bertembung dengan PPBM dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Presiden UMNO selama 22 tahun. Pertembungan antara kedua-dua tokoh politik Melayu itu dilihat lebih sengit kerana PPBM dijangka melawan UMNO di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar sehingga 2017 adalah 14.6 juta orang meliputi 62.9 peratus Melayu, 29.5 peratus Cina, 6.8 peratus India dan 0.8 peratus lain-lain kaum di Semenanjung Malaysia.

Daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 114 kerusi adalah terdiri daripada majoriti pemilih Melayu, manakala 22 kerusi majoriti Cina dan 29 kerusi campuran. Keputusan PRU-13 menunjukkan pakatan pembangkang ketika itu disertai DAP, PKR, dan PAS dapat menembusi 37 kerusi majoriti pemilih Melayu dan 21 kerusi campuran.

Persoalannya, apakah Pakatan Harapan (DAP, PKR, PAN dan PPBM) dapat mempertahankan kerusi-kerusi dimenangi mereka dalam PRU-14 tanpa sokongan PAS?

Meskipun PRU-13 diadakan ketika Najib baharu genap empat tahun menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya membawa kejayaan kepada UMNO malah menjamin Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan. Kepemimpinan Najib membawa kejayaan besar kepada UMNO kerana parti keramat Melayu itu berjaya menambah kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU-12 kepada 88 pada PRU-13. Malah merampas kembali Kedah daripada pakatan pembangkang.

Pada masa sama, kepemimpinan beliau juga membantu BN memenangi beberapa kawasan parlimen daripada pembangkang seperti Parlimen Merbok, Sik, Baling, Padang Terap, Pendang, Kulim-Bandar Baru, Bagan Serai, Kuala Selangor dan Jerai. Kemenangan itu jelas menunjukkan sokongan kaum Melayu dan India merosot dalam PRU-12 sudah kembali menyokong UMNO (BN) pada PRU-13.

Malah, perkembangan terakhir dalam medan politik negara menunjukkan pengundi Melayu kini sudah sedar strategi dan taktik DAP, sebuah parti yang lebih mewakli kaum Cina berasaskan demokrasi sosialis atau social demokrat berpaksikan sekularisme.

DAP didakwa memperkudakan PAS dalam menambah 10 kerusi parlimen iaitu menang 38 daripada 28 kerusi sebelumnya berbanding dengan PAS hilang dua kerusi iaitu daripada 23 kepada 21, manakala PKR pun hilang satu kerusi daripada 31 kepada 30 kerusi parlimen.

Keputusan PRU-13 jelas menunjukkan DAP bekerjasama dengan parti politik Melayu khasnya PAS semata-mata untuk memperolehi undi Melayu. Menyedari motif politik DAP tersebut, PAS kini sudah memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan DAP. Malah, kepimpinan dan penyokong PKR juga mula sedar terhadap niat sebenar DAP dalam terus menjalinkan kerjasama politik.

Apapun, tidak dapat dinafikan kemenangan BN dalam PRU-13 banyak ditunjangi oleh kemenangan besar kerusi dimenangi calon UMNO. Malah peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO yang dianggarkan mencecah 70 peratus, juga dikatakan menyebabkan memenangi 89 kerusi daripada 117 kerusi yang ditandingi.

Jadi, memandangkan sokongan kaum Cina dan India semakin memihak kepada BN pasca PRU-13, tidaklah keterlaluan sekiranya membuat unjuran bahawa UMNO akan terus menjadi benteng kepada BN dalam PRU-14 yang djangkakan berlangsung awal 2018.

Memandangkan kepemimpinan Najib telah melaksanakan transformasi UMNO dengan jayanya, malah lebih komited melaksanakan dasar-dasar kerajaan termasuk penyediaan bajet tahunan lebih mesra rakyat maka sokongan orang Melayu dijangkan beralih kepada UMNO.

Malah pendekatan taawun iaitu menyokong ketua negara berjiwa Islam ditonjolkan kepemimpinan PAS mutakhir ini juga dijangka mendorong orang Melayu bersatu mempertahankan kerajaan BN yang menyerlah dalam membela dan mempertahankan maruah Islam sambil membela kepentingan sah warga bukan Islam.




No comments:

Post a Comment