Salah satu slogan popular Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP ialah ‘Selamatkan Malaysia’. Ia bukanlah slogan baharu malah ia sudah wujud sejak zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Ketika itu slogan tersebut digunapakai oleh gerakan parti-parti pembangkang untuk menunjukkan betapa buruknya Malaysia di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir ketika itu. Ia termasuklah dari segi demokrasi dan kebebasan bersuara.
Tetapi sekarang kelompok yang mencetuskan slogan itu bersedia untuk melantik bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun tersebut sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
Oleh itu kami tertanya-tanya apa sebenarnya mereka mahu selamatkan? Apakah mereka benar-benar mahu menyelamatkan negara atau mahu menyelamatkan penguasaan politik mereka yang akhir-akhir ini kelihatan semakin haru biru dan bertambah huru hara?
Ini disebabkan PRU-14 dianggap medan terakhir untuk Pakatan Harapan menguasai negara. Sebab itulah mereka bersedia melakukan politik ‘pusingan U’ dan ‘menjilat muntah mereka sendiri’ apabila menerima Dr. Mahathir bekas musuh ketat mereka bersama mereka.
Tambahan pula, mereka semakin ketandusan modal untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). Berdasarkan kepada politik fitnah dan tomahan yang disebarkan, mereka cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa negara ini perlu diselamatkan.
Disebabkan terlalu terdesak, mereka menuduh Malaysia akan bankrap, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin kliptokrasi dan melakukan penyelewengan dalam isu 1MDB.
Walaupun itu sudah dijawab dan dibuktikan dengan fakta-fakta termasuklah oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi Pakatan Harapan tidak pernah berputus asa untuk terus membangkitkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan melalui pendekatan politik fitnah serta memesongkan fakta.
Oleh itu pihak kami tertanya-tanya apa yang mereka mahu selamatkan? Adakah Malaysia di bawah pemerintahan BN akan bankrap? Apakah rakyat di negara ini hari ini melarat dan tidak cukup makan? Adakah projek-projek kerajaan semuanya terbengkalai? Atau kakitangan kerajaan tidak dapat gaji kerana kerajaan tidak ada duit untuk membayar gaji?
Semua itu tidak pun berlaku dalam pemerintahan kerajaan hari ini. Malah, kerajaan masih mampu untuk membayar bonus kepada kakitangan kerajaan serta meneruskan projek-projek pembangunan infrastruktur dan modal insan untuk keselesaan rakyat untuk hari ini dan akan datang.
Bahkan, ringgit Malaysia juga kini semakin pulih mencecah ke RM3.99 yang secara tidak langsung memperlihatkan kenyataan seorang pemimpin veteran pembangkang, kononnya ringgit hanya akan pulih setelah Najib meletakkan jawatan hanya cuma mahu memperbodohkan rakyat sahaja. Begitu juga rizab negara yang berada dalam keadaan yang kukuh dan kini telah mencecah RM425.6 bilion (AS$94.9 bilion) setakat 15 Mac 2017.
Justeru terbuktilah segala dakwaan yang dikatakan oleh Pakatan Harapan hanyalah mintos fantasi dan cerita-cerita bohong untuk mempengaruhi persepsi rakyat. Sedangkan hakikatnya, ia tidak begitu dan rakyat boleh melihat fakta ini.
Hakikatnya tidak ada apa yang perlu diselamatkan oleh Pakatan Harapan kerana keadaan pentadbiran, ekonomi dan juga keselamatan negara masih lagi terkawal dengan baik di bawah pentadbiran Najib.
Oleh itu, kami berpendapat pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sepatutnya memikirkan bagaimana mahu menyelamatkan pakatan mereka yang hampir tenggelam. Hari ini tanpa PAS, pakatan tersebut semakin haru-biru dan bertambah huru-hara apabila Dr. Mahathir menyertai mereka.
Mereka korbankan segala prinsip semata-mata untuk mencapai matlamat politik bagi menguasai negara ini sehingga sanggup menerima kembali Dr. Mahathir yang ketika menjadi Perdana Menteri dianggap musuh nombor satu mereka ketika itu.
Dan kita tidak harus lupa bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan pernah berjanji untuk mengheret Dr. Mahathir ke mahkamah atas tuduhan menyalahguna kuasa ketika menjadi Perdana Menteri.
Tetapi sekarang sudah terbalik, Dr. Mahathir dilihat pemimpin penyelamat kepada Pakatan Harapan yang ketandusan pemimpin untuk Menjadi Perdana Menteri. Ia juga membuktikan pemimpin-pemimpin yang kononnya dianggap hebat seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebenarnya dianggap tidak mempunyai apa-apa kehebatan dan tidak layak menjadi Perdana Menteri walaupun beliaulah yang bermati-matian menentang Dr. Mahathir dahulu.
Semua senario perlu dinilai oleh rakyat supaya mereka tidak terpengaruh dengan mainan politik ‘gila kuasa’ oleh Pakatan Harapan. Mereka harus mengelak daripada terpengaruh dengan dakyah-dakyah pakatan itu yang sengaja dicipta untuk meraih undi.
Berfikirlah secara terbuka dan iklas dalam menilai parti mana yang perlu dipilih untuk menjadi kerajaan. Buatlah perbandingan untuk mendapatkan yang terbaik. Ketika membuat keputusan, jangan bersandarkan kepada emosi dan persepsi sebaliknya perlu bersandarkan realiti dan fakta. Keputusan yang dibuat berdasarkan emosi dan persepsi tidak akan membawa kebaikan, sebaliknya keputusan yang berdasarkan realiti dan fakta tidak akan mengecewakan kita.
Corak politik Pakatan Harapan terbukti bersandarkan ‘pusingan U’ dan matlamat menghalalkan cara. Mereka tidak ada agenda untuk membangunkan negara selain hanya mahu merebut kuasa semata-mata. Kesepakatan mereka tidak ikhlas dan bercelaru. Kerjasama mereka penuh dengan kepura-puraan dan kepalsuan. Mereka berpakat semata-mata untuk kepentingan politik. Pakatan mereka ibarat ‘tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain’.
Dalam usaha mencapai matlamat itu, mereka sanggup melakukan apa sahaja, waima memburuk-burukan negara sendiri kepada negara asing. Memang benar slogan ‘Selamatkan Malaysia’ boleh digunakan tetapi ‘Selamatkan Malaysia’ daripada kerakusan Pakatan Harapan yang tidak boleh diharapkan.
No comments:
Post a Comment