Friday, 19 January 2018

PAKATAN HARAPAN PRU 14 - AKAR UMBI BERGOLAK, PEMIMPIN CARI KAWASAN SELAMAT.

Pakatan Harapan bukan sahaja dianggap bercelaru gara-gara soal pengagihan kerusi malah kepimpinan masing-masing dilihat semakin huru hara mencari kawasan selamat dengan bertukar tempat untuk bertanding menjelangnya Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) akan datang.
Lantaran itu, bagi kami ianya tidak pelik dan bukan perkara menghairankan pakatan berkenaan berada dalam keadaan serabut setelah kedua-dua masalah tersebut terus menghantui mereka gara-gara disebabkan perasaan tamak serta agenda masing-masing untuk kepentingan politik peribadi.
Atas kertas nampak macam selesai soal pengagihan kawasan untuk ditandingi, namun secara dasarnya pula siapa yang tahu berlaku kocakan secara dalaman antara satu dengan yang lain antara parti-parti yang menaungi pakatan harapan. Kami percaya mungkin wujud perasaan tidak puas hati antara satu dengan yang lain. Masa yang akan menentukan kelak kesudahan cerita ini.
Pada masa yang sama, ada pula kalangan pimpinan mereka yang hari ini kita dapat lihat sibuk untuk melompat ke kawasan lain atau dengan kata lainnya untuk mencari kawasan selamat untuk ditandingi.
Maklumlah…mungkin rekod sebagai wakil rakyat telah pun tercalar dan jalan terbaik tentunya mencari kawasan baru untuk ditandingi. Apabila bertukar kawasan rekod pun cantik… akhirnya inilah pilihan yang ada dalam usaha memastikan kesinambungan hayat politik mereka.
Kami seterusnya ingin menegaskan masalah-masalah tersebut akan terus menjadi kudis kepada mereka dan tentunya akan berlarutan sehingga ke pilihan raya umum akan datang.
Oleh itu tidak mustahil mereka akan terus bergolak dan akan terus berkecamuk walaupun pada luarannya mereka nampak sehaluan dan seolah-olah tidak mempunyai masalah tersendiri.
Namun percayalah…bak kata pepatah bangkai gajah kalau ditutup dengan apa sekali pun akhirnya akan berbau juga. Jadi kita tengok selepas ini episod mereka dan budaya tikam-menikam yang akan berlaku nanti.
Sebenarnya kita bukannya ‘pak nujum’ untuk membuat ramalan cuma andaian yang kita boleh buat berdasarkan kepada perkembangan terkini begitulah episod pakatan harapan. Cuma bagi BN, segala gerak kerja dan penerangan terhadap rakyat perlu diteruskan dalam usaha memastikan yang rakyat benar-benar akan membuat pilihan yang terbaik pada pilihan raya umum nanti.

No comments:

Post a Comment