Dalam satu ceramah di Perak, Rabu lalu, Mat Sabu cuba meyakinkan khalayaknya bahawa Melayu tidak akan hilang kuasa apabila Pakatan Harapan memerintah. Nasb orang Melayu tetap terbela. Ini semua tercermin apabila mereka sepakat memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.
Dr. Mahathir dalam kemasan baharu Pakatan Harapan kini dijaja ke seluruh negara. Fasa in - memujuk dan meyakinkan pengundi - lebih mencabar berbanding proses pemilihan bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu yang ditentang sebilangan pemimpin Pakatan Harapan.
Mat Sabu digelar ayam sabung semasa berada dalam PAS, Pengerusi PAN atau Amanah ini memulakan langkah menjual Dr. Mahathir. Orang Melayu perlu diyakinkan pemilihan Dr. Mahathir sebagai tepat untuk misi ‘menyelamatkan Malaysia’ yang ironinya diulang tayang setiap kali plihan raya.
Sepert lazimnya dalam ceramah-ceramah bersama PAS dahulu skrip Mat Sabu tidak banyak berubah, beliau memberi keyakinan bahawa model pakatan pembangkang kali ini diterima positif rakyat.
“Mana-mana saya pergi kedai gunting rambut, lapangan terbang dan restoran, orang ramai sudah ucap tahniah,” katanya dalam ceramah Pakatan Harapan seperti dipetik portal propembangkang.
Dalam keadaan partinya sendiri Amanah dilabel sebagai ditaja oleh DAP, Mat Sabu cuba menggambarkan sebaliknya. Katanya, semua itu dicipta oleh musuh politik mereka, UMNO.
Ada juga orang melabelkan parti Amanah sebagai sayap Melayu DAP yang diwujudkan untuk memecah belahkan orang Melayu, yang fungsinya serupa dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan Dr. Mahathir dijadikan alat untuk meraih undi Melayu bagi pihak DAP yang berkuasa dalam Pakatan Harapan.
Mat Sabu berkata kejayaan menamakan calon Perdana Menteri dianggap beliau sebagai pencapaian besar. Pemilihan Dr. Mahathir membuat UMNO terdiam.
Tidak seperti pilihan raya sebelum ini kata Mat Sabu, ada tiga nama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hadi Awang dan Tengku Razaleigh Hamzah. Sebenarnya kali ini, bukanlah nama Dr. Mahathir seorang yang dicalonkan. Ada dua nama. Seorang lagi ialah Anwar yang dinamakan calon Perdana Menteri kelapan.
Jadi apakah bezanya dahulu dengan sekarang? Apakah Anwar tidak cukup Melayu dan tidak cukup memikat pengundi Melayu.
Kempen Pakatan Harapan kali ini memberi fokus untuk meyakinkan orang Melayu. Inilah skrip yang akan didendangkan kepada khalayak Melayu dalam siri jelajah politik Pakatan Harapan bermula bulan depan. Dr. Mahathir dan Nurul Izzah akan disolek secantik mungkin untuk diletakkan di barisan depan. Siapakah yang mampu menyolek mereka sebegitu rupa?
Mereka mahu memberi gambaran DAP bukanlah ketua Pakatan Harapan walaupun realiti terutama dari segi kerusi parti cauvinis Cina itu berada dalam kedudukan dominan.
Di atas kertas kertas PPBM pimpinan Dr. Mahathir paling banyak mendapat agihan kerusi Parlimen di Semenanjung. PPBM mendapat 52 kerusi diikuti PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi dan PAN 27 kerusi.
Realitinya DAP yang mendapat agihan yang sedikit tetapi semuanya berstatus kerusi selamat. Tetapi tidak pula DAP mahu memberikan kerusi selamat kepada parti baharu PPBM mahupun PAN yang dikatakan banyak mengalah dan berkorban.
Mengikut simulasi firma penyelidikan Politweet, PPBM yang kini diletakkan di barisan hadapan bagi ‘menghuru-harakan’ UMNO hanya boleh memenangi tidak lebih daripada enam kerusi. PKR yang bijak mencatur untuk mendapatkan agihan yang lebih banyak kerusi boleh menang, diramalkan mendapat 34 kerusi. PAN pula berpotensi memenangi 19 kerusi.
DAP terus cemerlang dengan ramalan memenangi 34 kerusi daripada 35 kerusi yang ditandingi. Jika mengambil kira kerusi di Sarawak, sudah pasti DAP akan menjadi parti paling dominan.
Tentu sekali simulasi yang mengambil kira data pilihan raya umum yang lalu ditolak mentah-mentah oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu. Nampaknya sindrom penafian itu kini telah berbalik kepada pakatan ini.
Dapatan simulasi Politweet ini adalah rujukan untuk mengukur sejauh mana kekuatan Pakatan Harapan diketuai oleh DAP ini. Walaupun tidak banyak bezanya daripada dapatan kajian selidik organisasi lain, pada titik ini Pakatan Harapan tidak lagi boleh berundur ke belakang walaupun itu sebearnya yang sedang gigih mereka lakukan.
Mereka akan berepan dengan pengundi. Dalam mengharungi risiko besar itu, kita pun tertunggu apakah senjata ajaib mereka. Tidak mungkin Pakatan Harapan dapat ke Putrajaya dengan hanya berbekalkan senjata biasa-biasa sahaja. Apakah Dr. Mahathir itu sudah dianggap sebagai senjata luar biasa? Tidak mungkin isu rekayasa seperti Malaysia telah dijual kepada China atau bersifat perkauman umpamanya Proton pilih kasih kepada kaum Cina membuatkan orang Melayu marah dan berpakat mengundi Pakatan Harapan.
DAP, otak di sebalik pecaturan penuh risiko ini tentunya telah berfikir panjang. Lagipun tentu sekali mereka telah menghidu kelompok besar pengundi Cina yang dahulu anti-Dr. Mahathir. Keberangkalian mereka akan kehilangan sokongan pengundi Cina termasuk yang protes tidak keluar mengundi adalah besar.
Jelajah Pakatan Harapan pada bulan depan akan memberi gambaran lebih jelas tentang sejauh mana sambutan orang Melayu terhadap tawaran pakej olahan DAP ini. Setakat ini sambutan daripada orang Melayu tidaklah memberangsangkan.
Yang terkesan Pakatan Harapan yang terlebih-lebih bermain politik perkauman. Yang terasa semakin banyak pusingan ‘U’ dan kemunafikan dalam gabungan pembangkang ini.
No comments:
Post a Comment