Wednesday 3 January 2018

PELBAGAI PRASANGKA NEGATIF TERHADAP PERISTIWA MEMALI PERLU DISELSAIKAN MELALUI SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA.


Kenyataan yang tidak menyakinkan, saling mendakwa dan berubah ubah tentang tragedi Memali yang sudah berlanjutan lebih 32 tahun sehingga mewujudkan pelbagai prasangka negatif perlu dihentikan segera melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Draja (RCI).

Menolak ke tepi tuduhan bahawa penubuhan RCI hanyalah bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), isu yang sudah menjadi polemik dalam masyarakat itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana melibatkan ruang lingkup salah guna kuasa, jenayah, tuduhan pegangan agama dan kehilangan nyawa.

Kegagalan mewujudkan RCI akan menyebabkan peristiwa berdarah yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis itu akan terus diperkatakan  sepanjang zaman tanpa sebarang titik noktah.

Walaupun kerajaan sebelum ini pernah menerbitkan laporan Kertas Putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun 1986, namun dakwaan saksi kejadian bahawa kertas putih tersebut sebagai satu ‘pembohongan’ telah mencacatkan kredibilitinya dan keadaan tersebut perlu diperbetulkan.

Justeru, cara terbaik bagi memperbaiki keadaan itu adalah dengan menubuhkan sebuah badan penyiasat berkecuali, telus dan berintegriti tinggi bagi memberi keadilan kepada mangsa sekali gus menjawab persoalan kepada peristiwa yang berlaku pada 19 November 1985.

Hakikat yang perlu diterima secara positif oleh semua pihak adalah RCI merupakan medan sebenar kepada tertuduh dan mangsa atau keluarga mereka bagi memperjelaskan perkara sebenar yang berlaku selain menafikan tuduhan buruk yang dilemparkan sebelum ini.

Antarnya berkaitan persoalan yang bermain di benak fikiran masyarakat yang merasakan tindakan kerajaan menghantar kira-kira 3,600 anggota polis lengkap bersenjata dan kereta prisai sekadar menangkap sekumpulan penduduk kampung diketuai Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya disifatkan keterlaluan.

Persoalan lain yang mampu dirungkai dalam RCI itu nanti adakah benar kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu yang dikenali sebagai Amanat Hadi merupakan sebuah fatwa atau nasihat semata-mata.

Selain itu, adakah benar dakwaan bahawa Amanat Hadi telah disalah tafsir oleh Ibrahim Libya dan pengikut sehingga mereka didakwa sebagai pengganas oleh kerajaan pada ketika itu.

Semua persoalan tersebut perlu dileraikan segera terutamanya bagi menghalang pihak berkepentingan secara berterusan menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan berhubung Amanat Hadi demi kepentingan manfaat politik masing-masing.

Berikutan itu, semua pihak perlu berlapang dada dan melihat penubuhan RCI peristiwa berdarah Memali dari sudut menyelesaikan permasalahan serta persoalan yang menjadi tanda tanya ramai pihak sehingga ke hari ini.

Buang sejauh-jauhnya tanggapan bahawa mereka bakal menjadi ‘mangsa’ jika RCI berkenaan ditubuhkan kerana suruhanjaya tersebut didukung oleh sistem perundangan negara yang telus dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment