Penyebaran berita palsu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Lazimnya, apa sahaja berita bersifat skandal, gosip, palsu dan diragui kesahihannya boleh mendekati masyarakat dengan mudah.
Matlamat berita palsu adalah untuk mewujudkan persepsi negatif oleh satu pihak terhadap satu pihak yang ingin dijatuhkan. Hakikatnya budaya berita palsu untuk mewujudkan persepsi negatif bagi menyemarakkan politik kebencian telah bermula serta menular di negara ini sejak era 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir. Ia dilakukan oleh golongan reformis di bawah pimpinan Anwar Ibrahim pada 1998 untuk menentang kerajaan yang dipimpin oleh Dr. Mahathir yang dianggap kuku besi serta menyalah guna kuasa. Kemuncak penularan budaya berita palsu atau peperangan persepsi di negara ini ialah pada PRU-12 pada Mac 2008 di mana serangan berita palsu serta hasutan yang dilakukan oleh Red Bean Army yang didalangi serta dibiayai oleh DAP. Kesan daripada serangan itu Barisan Nasional (BN) walaupun tidak kecundang, tetapi hilang dua pertiga majoriti di Parlimen hingga sekarang. Pada PRU-13, walaupuna ada pencapaian BN terutama UMNO dalam pilihan raya tersebut, namun masih gagal untuk mencapai dua pertiga majoriti di Parlimen.
Hatta, pembunuhan karakter turut menjadi mainan penting sewaktu musim pilihan raya. Sebarang berita yang agendanya berbau pembunuhan karakter dengan mudah menghampiri pelayar media sosial. Ia boleh secara emosional sama ada mempengaruhi masyarakat untuk memberontak, memberi keyakinan ataupun menolak berita-berita seperti itu.
Lazimnya, kaedah berbentuk emosional dengan paparan berita sensasi, diselit dengan muslihat dan sindiran serta mencari maklumat kontroversi boleh memberi impak yang ketara khususnya ketika penamaan calon dan waktu berkempen dalam PRU.
Mereka yang memulakan penyebaran berita seperti ini mahu calon lawan memberi reaksi ke atas isu yang direka agar tumpuan ke atas kempen mereka terjejas dan secara psikologinya merasa tertekan.
Misalnya, kehadiran 40,000 warga Bangladesh direka sewaktu kempen PRU 2013 untuk melahirkan persepsi seolah-olah wujud pengundi hantu. Ini menyebabkan sesiapa sahaja yang mempunyai iras seperti warga asing itu turut dilontarkan dengan kata-kata kesat.
Hari ini pula, menular pula berita wang sebanyak RM2.6 bilion akan dipulangkan semula dengan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikaitkan dengan kempen ini walaupun isu 1MDB dianggap selesai oleh pihak berkepentingan.
Penggunaan logo-logo surat khabar tanpa mendapat persetujuan juga semakin menjadi-jadi untuk menyakinkan pembaca ia datang dari sumber yang sah walhal akhbar-akhbar ini sering menjadi bahan kritikan mereka ke atas berita yang disiarkan.
Media sosial yang menjadi pilihan kini menarik ramai yang mahu menonjolkan pandangan dan pendapat sehingga adakalanya kenyataan-kenyataan ini meragukan. Ia tidak menjadi relevan melainkan masyarakat menilai dan memastikan kebenaran di sebalik maklumat yang diterima. Fitnah juga diperhebatkan dalam usaha memadamkan populariti seseorang calon.
Permainan berita palsu bukan perkara baru. Dulu kita sering didedahkan dengan ‘surat layang’ yang tidak mendekati kesemua kumpulan sasar kerana pelbagai kekangan. Begitu juga pengganas Komunis Parti Komunis Malaya (PKM) menggunakan ‘surat beracun’ atau ‘poison letter’ untuk menghasut rakyat bangkit menentang kerajaan yang ada. Hari ini teknologi maklumat memudahkan proses penyebaran atau penularan yang boleh berlaku sekelip mata, dengan hanya dengan satu tekanan kekunci (key board), maklumat mampu di terima oleh ramai seluruh negara. Amalan tidak bermoral ini perlu dibendung kerana tumpuan berlebihan kepadanya boleh menjejaskan pelbagai sektor pembangunan negara-bangsa ini.
Berita palsu bukan hanya datang melalui media sosia sahaja, malah tidak terkecuali melalui media cetak berkala pembangkang dan media cetak asing yang boleh diperolehi atas talian. Media asing seperti CNN, Wall Street Journal (WSJ), Washington Post, The New York Times, TIME dan Newsweek antara yang sering menyiarkan berita palsu. Berita palsu tentang kerajaan Malaysia yang disiarkan kebanyakkannya berpunca daripada maklumat daripada pembangkang negara ini sendiri. Contohnya isu fitnah terhadap 1MDB yang pada mulanya ia didedahkan oleh sebuah portal berita palsu (fake news portal) Sarawak Report yang berpengkalan di United Kingdom. Kemudian dikuti pendedahan oleh WSJ dan seterusnya oleh media asing yang lain. Di fahamkan juga pendedahan tentang isu fitnah ini ditaja serta dibiayai oleh bekas seorang Perdana Menteri Malaysia kerana terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan membabitkan nama beliau.
Apakah sudah tiba masanya untuk memperkemaskan undang-undang untuk mengawal penggunaan platform media soasial khususnya sewaktu musim PRU untuk memastikan demokrasi tidak disalahgunakan dengan amalan bersifat mutlak ke atas apa sahaja yang dilakukan.
Negara maju seperti Britain dan Perancis adalah negara yang lebih awal mengorak langkah untuk memperkenalkan undang-undang menangani berita palsu laman sosial.
Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam prutusan tahun baharu 2018 menyatakan bahawa undang-undang baharu akan diperkenalkan untuk melayari internet khususnya perincian undang-undang media sosial pilihan raya. Ia bertujuan menghentikan propaganda yang diartkulasi oleh berjuta pemilik akaun media sosial.
Bagi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, walaupun beliau tidak menyebut apa-apa tentang memperkenalkan undang-undang berita palsu, tetapi beliau pula baru-baru ini mengumumkan senarai penerima anugerah ‘The Fakes (palsu)’, iaitu anugerah khas buat berita palsu 2017. Beliau yang sentiasa melontar pandangan keras ke atas media kerana mendapat liputan negatif telah menyenaraikan CNN, Washington Post, The New York Times, TIME dan Newsweek antara yang sering menyiarkan berita palsu.
Apakah Malaysia mahu membuat langkah yang sama kerana seringkali kepemimpinan atasan termasuk Perdana Menteri dan keluarga menjadi sasaran pihak lawan politik mereka terutama Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Pada 28hb Januari 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan akan mengkaji untuk mengubal undang-undang baharu bagi megekang penularan berita palsu di Malaysia. Beliau menambah bahawa bagaimanapun kerajaan tidak akan mengawal internet sekiranya undang-undang baharu tersebut diperkenalkan.
Sebaliknya, peraturan baru yang lebih tegas itu diperlukan kerana penyebaran berita palsu di media sosial memberi kesan yang amat membimbangkan kerana boleh mengancam kestabilan politik, ketentraman awam dan kedaulatan negara.
Rakyat boleh terpesong seperti membenci kerajaan dan merusuh hanya kerana terpedaya dengan berita palsu.
Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan beberapa pihak termasuk ahli akademik melahirkan kebimbangan mengenai penularan berita palsu di negara ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan supaya menguna pakai peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam menangani ancaman tersebut.
Kesimpulannya, berita palsu boleh mengancam kestabilan politik, ketenteraman awam dan kedaulatan negara melalui campur tangan kuasa asing. Melalui undang-undang yang bakal digubal bukan sahaja ia merupakan satu langkah membasmi gejala berita palsu, malah ia dapat memberi kesedaran kepada rakyat, terutama generasi muda yang bakal mewarisi negara ini bahawa budaya berita palsu ini adalah merupakan satu jenayah.
Menyedarkan aktivis politik, terutama dari kalangan parti pembangkang bahawa di dalam politik tidak ada jalan pintas untuk memperolehi kuasa, melainkan dengan memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan bukannya melalui pembohongan atau penipuan dengan penyebaran berita palsu. Lazimnya kuasa yang diperolehi secara pembohongan atau penipuan tidak mampu bertahan lama. Apabila tiba pilihan raya terpaksa berpindah mencari kawasan baru yang selamat untuk bertanding.
Akhir sekali untuk menyedarkan aktivis politik, yang juga dari kalangan parti pembangkang yang cenderung bergantung kepada kuasa dan media asing untuk menyebar berita palsu memburuk-buruk kerajaan dan pemimpin negara sendiri ke seluruh dunia. Pemimpin atau ahli politik yang terdesak biasanya akan melakukan sedemikian. Lazimnya kuasa asing tidak semudah itu untuk berkerjasama terutama dengan pembangkang negara ini, melainkan ada agenda tersirat pada jangka panjang untuk menjajah, tidak kira sama ada penjajahan secara fizikal atau penjajahan minda. Sekiranya ini berlaku, sudah pasti dasar pemerintahan negara ini akan terpaksa mematuhi kehendak dan selera mereka yang sudah tentu akan menjejaskan kedaulatan negara ini.
No comments:
Post a Comment