Tuesday 2 January 2018

BOLEHKAH MAHATHIR DIMAAFKAN? SIRI 3 - PERISTIWA BERDARAH MEMALI 1985.



Peristiwa berdarah Memali 1985 merupakan satu peristiwa kontroverial semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Peristiwa Memali berlaku pada 19 Noveber 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah. Insiden ini telah mengorbankan 14 orang aktivis PAS dan tiga orang anggota keselamatan. Berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan setelah disoal siasat, kecuali 36 orang. Mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali dengan Ibrahim Libya telah terkorban. Polis memanggil operasi ini dikenali sebagai Operasi Angkara atau Operasi Hapus.

Peristiwa ini terjadi ketika Datuk Seri Musa Hitam (ketika itu) menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri Malaysia difahamkan kononnya berada di negara China.

Dalam satu sidang media, Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri memaklumkan Operasi Angkara bertujuan untuk menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Beliau didakwa mengancam ketenteraman awam negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat.

Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985, Musa Hitam menyangkal kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mendakwa Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga didakwa melindungi dua penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit.

Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka tiada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditahan di bawah ISA tanpa diberi peluang untuk membela diri di mahkamah.

Melalui satu sidang media pada 27 Mac 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa Tun Dr. Mahathir ada di Kuala Lumpur sewaktu tragedi Memali berlaku dan bukannya berada di negara China.

Dr. Mahathir bagaimanapun dengan sikap tidak bertanggungjawab menyatakan beliau tidak pasti di mana beliau berada ketika itu. Akhir sekali setelah 29 tahun peristiwa berdarah itu berlaku, pada 10 April 2014 beliau mengakui pergi ke negara China pada 20 November 1985, iaitu sehari selepas peristiwa ini terjadi.

Di sini adalah jelas, sebagai seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab sepatutnya beliau lebih sensitif serta proaktif terhadap peristiwa berdarah tersebut kerana ia mengakibatkan kebanyakkan rakyat yang tidak berdosa. Tindakan beliau menghilang serta menyepikan diri ketika itu merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang Perdana Menteri.

Akhir sekali, mungkinkah dengan ketiadaan beliau semasa tragedi tersebut telah beliau rancang sendiri agar rakyat menuding jari kepada Tun Musa Hitam tentang peristiwa tersebut? Adakah ini merupakan ‘baling batu sembunyi tangan’ terhadap Tun Musa Hitam?

Kesimpulannya Operasi Angkara atau Operasi Hapus dalam peristiwa berdarah Memali penuh dengan tanda tanya tentang beberapa perkara. Siapakah dalang atau tangan hitam yang mengarahkannya dan apakah matlamat sebenar operasi tersebut dilakukan secara zalim tanpa melalui proses keadilan undang-undang?

Menurut Musa Hitam dalam sidang medianya selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang operasi tersebut bertujuan untuk ‘menangkap’ dan ‘menghapuskan’ penjenayah. Jika itulah missi pihak keselamatan, mengapakah ia dijadikan sebagai satu medan perang, di mana seramai 14 orang kampung terkorban, berpuluh lagi cedera dan penahanan beratus orang lagi orang kampung? Adakah mereka ini semua penjenayah, sebagaimana yang di dakwa terhadap dua orang iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit? Apakah justufikasi pihak keselamatan menangkap hanya dua orang penjenayah dengan menggunakan ribuan anggota dan komando lengkap dengan senjata automatik serta kereta prisai? Adakah itu merupakan prosedur standard untuk pihak keselamatan gunakan bagi menangkap serta menghapuskan penjenayah yang kecil jumlahnya?

Adalah jelas di sini dua orang yang didakwa sebagai penjenayah itu telah dinafikan hak membela diri kerana ditahan bawah ISA bukan sebagai penjenayah biasa. Mungkin mereka dapat membela diri, sekiranya mereka bukan penjenayah, seandainya mereka diberi peluang dibicarakan di mahkamah biasa dan bukan di bawah ISA.

Setelah 32 tahun berlalu, dalam perkembangan terkini, Tun Dr. Mahathir cuba untuk menjolok sarang tabuan dengan menyalahkan serta mengaitkan pihak lain terhadap dosanya dalam Peristiwa Berdarah Memali.

Beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Sabtu 30 Disember 2017 lalu mencipta kontroversi baharu mengenai tragedi Memali apabila menyalahkan mufti kerana tidak menghalang amanat dikeluarkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 sehingga mencetuskan kejadian tersebut.

Kenyataan Mahathir itu telah dianggap oleh banyak pihak sebagai tindakan jahat dan fitnah besar terhadap Prisiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tun Dr. Mahathir sekali lagi cuba mengaitkan peristiwa berdarah yang berlaku di Memali adalah berpunca daripada kenyataan yang digambarkan sebagai Amanat Hadi.

Beliau juga pada kali ini cuba mengaitkan mufti sebagai punca berlaku peristiwa berdarah tersebut.

Banyak pihak berpendapat bahawa kenyataan Mahathir itu hanya dibuat untuk melepaskan diri sendiri dan semua rakyat tahu bahawa beliau merupakan Perdana Menteri pada ketika peristiwa Memali berlaku.

Beliau tidak wajar membuat tuduhan tanpa bukti terhadap Presiden PAS dan mufti. Sehubungan itu, PAS menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap beliau.

Parti itu bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah itu boleh menyebabkan orang Melayu khususnya akan berpecah-belah, para mufti tidak dihormati dan semua yang terlibat dalam peristiwa Memali akan bermusuhan.

Selain itu, PAS Johor juga mendesak supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semula peristiwa Memali sekaligus membolehkan rakyat mengetahui cerita sebenar disebalik tragedi yang mengorbankan 18 nyawa itu.

Biar RCI siasat, tidak tahu beliau (Dr. Mahathir) hendak salahkan siapa selepas ini. Sama ada beliau hendak jawab tidak tahu, itu terpulang kepada beliau.

Sebelum itu Timbalan Perdana Menteri, Datu Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 20 Ogos 2017 lalu menyatakan bahawa kerajaan sedia untuk menimbang penubuhan RCI bagi menyiasat semula tragedi berdarah Memali.

No comments:

Post a Comment