Thursday 25 January 2018

BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT, BUKAN ORINTASI BAGI WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG.


Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, berkhidmat kepada rakyat tidak pernah menjadi orientasi kepada kepimpinan pembangkang dan ekoran itu, ramai wakil-wakil rakyat pembangkang gagal dalam melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang mereka wakili.
Kata Hasnal, perkara ini secara tidak langsung diakui oleh salah seorang pemimpin pembangkang iaitu Ambiga Sreenevasan di mana dalam satu kenyataan, beliau berkata pendekatan berceramah yang dilakukan oleh pembangkang  tidak boleh menjadi galang ganti kepada khidmat yang diamanahkan oleh rakyat kepada wakil rakyat pembangkang.
“Berdasarkan kata-kata Ambiga itu maka secara tidak langsungnya beliau mengakui kepincangan dan kegagalan wakil-wakil rakyat pakatan pembangkang dalam memberikan khidmat mereka kepada rakyat di kawasan yang mereka wakili.
“Saya rasa, ini merupakan satu kesedaran yang datang secara tiba-tiba hadir di dalam pembangkang bahawa jika mereka mahu menang mereka mesti berkhidmat kepada rakyat kerana khidmat kepada rakyat itu tidak boleh digantikan ceramah-ceramah.
“Kata-kata Ambiga itu juga bagi saya seolah-olah sebagai satu perakuan bahawa pakatan harapan selama ini fokus politiknya adalah untuk menonjolkan diri dalam sesuatu isu nasional dan bukannya berorientasikan kepada khidmat untuk kesejahteraan rakyat di kawasan mereka,” ujarnya.
Hasnal yang juga merupakan Ketua Penerangan BN Parlimen Selayang  turut berkongsi pengalaman berbual dengan mendiang Karpal Singh di sekitar tahun 1999 di mana ketika itu ramai pemimpin pembangkang yang tewas di dalam pilihanraya termasuklah Karpal Singh sendiri dan juga Lim Kit Siang.
“Kebetulan pada tahun 1999 saya mengendalikan kes Al Maunah di mana  Karpal Singh ketika itu juga merupakan peguam yang membela kumpulan Al Maunah di mahkamah. Maka saya sempatlah  berbual-bual santai dengan beliau.
“Apa yang saya dapati ketika berbual dengan mendiang, Karpal menyatakan pendiriannya bahawa seorang wakil rakyat itu adalah pembawa suara rakyat ke parlimen. Jadi jangan mengharapkan beliau untuk membuat kerja-kerja lain.
“Contohnya jika longkang tersumbat, gotong royong dan sebagainya, jangan ajak beliau. Kerana itu kata mendiang Karpal bukan kerjanya. Kerjanya sebagai wakil rakyat hanyalah membawa suara rakyat ke parlimen. Itu sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap sebagai ahli panel dalam diskusi mingguan Anda Tanya Kita Jawab anjuran UMNO-Online dan Jabatan Penerangan UMNO Malaysia di PWTC hari ini.
Kata beliau, inilah perbezaan mentaliti wakil-wakil rakyat di dalam pembangkang jika mahu dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat UMNO dan BN dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang mereka menangi.
“Inilah mentaliti pembangkang. Saya tidak salahkan mendiang Karpal Singh berfikiran begitu kerana ini mungkin orientasi dalam pembangkang kepada wakil-wakil rakyat mereka. Jadi di sini amat jelas dan ketara perbezaan orientasi dan mentaliti di antara wakil rakyat pembangkang berbanding wakil rakyat UMNO dan BN.
“Di dalam UMNO, orientasinya tidak begitu. Jika kita tidak memberikan khidmat kepada rakyat dalam isu-isu yang dianggap bukan kerja wakil rakyat oleh pemimpin pembangkang seperti isu longkang tersumbat dan sebagainya, maka jangan kata mahu menang  jika bertanding sebagai wakil rakyat, untuk bertanding dalam pemilihan UMNO pun pasti akan ditolak oleh ahli-ahli.
“Di dalam UMNO dan BN, tugas seorang wakil rakyat tidak terhenti hanya untuk membawa suara rakyat ke parlimen. Di dalam UMNO dan BN, saya melihat ada tiga perkara yang dilakukan oleh wakil rakyat BN iaitu khidmat, kebersamaan dan juga kepedulian atau keprihatinan.
“Contohnya di Selangor, BN telah tewas selama dua penggal di negeri itu. Tapi adakah jentera BN berhenti bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat di Selangor? Tidak pernah. Ertinya jentera BN tetap memberikan khidmat biarpun tidak terpilih. Inilah bezanya kemuliaan jiwa antara ahli politik BN dan pembangkang. Pembangkang menang pun tidak beri khidmat kepada rakyat.
“Justeru itu, kegagalan dalam memberikan khidmat kepada rakyat inilah yang menyebabkan wakil rakyat pembangkang lebih suka untuk melompat-lompat kawasan untuk mengekalkan kuasanya. Mereka ini seumpamanya seorang murid sekolah yang bertukar sekolah sebelum sempat ‘report card’ mereka diperiksa,” ujarnya sinis.

No comments:

Post a Comment