Wednesday 31 January 2018

KATA SINGKAT PPBM IALAH PARTI PALING BANYAK MASALAH


Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Zaifulbahri Idris melihat apa yang berlaku semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Ahad lalu memberi gambaran terhadap keupayaan mereka dalam urus tadbir sesebuah organisasi.
Serentak itu beliau menyatakan bagaimanakah rakyat boleh mengharapkan mereka untuk mentadbir serta menguruskan sesebuah negara dengan baik sedangkan organisasi sendiri penuh dengan cacamerba dan tempang hingga umum mula menggelarkan mereka PPBM bermaksud Parti Paling Banyak Masalah.
“Kita ni malas nak ulas parti lawan…cumanya pada saya beginilah. Kalau sendiri pun tunggang-langgang dan awal-awal lagi kecoh sana-sini dalam menguruskan organisasi, macam mana untuk menguruskan negara yang lebih rumit daripada itu.
“Berbanding dengan Barisan Nasional (BN)…kita bertanding di semua kawasan dengan parti-parti komponen masing-masing bersefahaman dan perpaduan yang sangat jelas walaupun kita terdiri daripada pelbagai parti, kaum dan agama. Masing-masing faham dengan pembahagian kawasan yang ditandingi.
“Yang jelas apa yang berlaku itu memaparkan mereka ini tidak ada persefahaman yang padu dan inilah yang membezakan antara BN dengan mereka. BN hingga ke hari ini alhamdulillah tidak pernah berlaku sebarang kekecohan dan membuktikan permuafakatan yang jelas antara satu dengan yang lain,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Ahad lalu, konvensyen pakatan harapan Negeri Sembilan bertukar kecoh selepas kira-kira 40 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak berpuas hati dengan agihan kerusi DUN yang diberi didakwa mereka sebagai kawasan hitam.
Daripada 36 DUN di Negeri Sembilan, 12 kerusi diperuntukkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (11), Parti Amanah Negara (7) dan PPBM (6).
PPBM diperuntukkan kerusi DUN Palong, Seri Menanti, Chembong, Pertang, Gemencheh dan Bagan Pinang.
Zaiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong seterusnya menambah rakyat boleh lihat dan boleh membuat penilaian tersendiri terhadap perkembangan mutakhir ini apa yang berlaku di dalam pakatan harapan.
Semestinya ujar beliau lagi itulah bayang-bayang mereka yang kononnya sering melaung-laungkan perubahan untuk negara sedangkan menguruskan diri sendiri pun penuh dengan masalah. 

No comments:

Post a Comment